Sukan Tarik Minat Anak Muda Bersama PAS

371

Oleh : Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN – Pemuda PAS DUN Chukai (PPDC) dengan kerjasama Department of Arts, Culture & Sport (DACS) telah menganjurkan Kejohanan ‘Penalty Street Soccer’ Piala YBC Tertutup Kemaman, yang telah menarik ramai anak muda.

Kejohanan Bawah 21 Tahun dan ‘DACS Challenger Score’ diadakan di Padang Astaka, Kemaman telah bermula seawal 9.30 pagi

Ia telah mendapat penyertaan sebanyak 64 pasukan yang berentap untuk membuktikan kehebatan pasukan masing-masing.

Ketua Pemuda PAS DUN Cukai, Ahmad Khairuddin Mohd Zaki, menyampaikan hadiah kepada pemenang

Ketua Pemudanya, Ahmad Khairuddin Mohd Zaki ketika ditemui merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh Ahli Jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.

“Sukan adalah satu sunnah, kita juga boleh mendapatkan pahala jika patuh pada syariat yang ditetapkan oleh agama kita.

“Justeru itu, kejohanan yang kita anjurkan pada kali ini bukan hanya ingin mengejar hadiah semata-mata tetapi adalah untuk kita merapatkan Ukhwah di antara satu sama lain serta mengenali pimpinan PAS di peringkat DUN Cukai,” jelasnya semalam 10 Ogos.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ramlan Mahmood, yang merasmikan kejohanan itu serta ucapan tahniah dan syabas kepada mereka yang telah berjaya memenanginya.

Dalam pertandigan itu, Pasukan Batik FC B telah berjaya memenangi kejohanan pada kali ini dan membawa pulang Piala beserta wang tunai RM1000.00 selepas menewaskan pasukan Seri Bandi D yang membawa pulang wang tunai RM700 dengan jaringan (2-0) dalam perlawanan akhir yang cukup mendebarkan.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan KFJ yang berjaya menewaskan Junior FC dengan jaringan (1-0) selepas terikat (2-2) dan masing-masing membawa pulang wang tunai RM500 dan RM300.

Manakala bagi pertandingan DACS Challenger Score pula mendapat sebanyak 208 penyertaan dimana tiada had umur ditetapkan. Adik Mohamad Al-Hafiz Firdaus Hashim, 19 tahun telah berjaya memenangi pertandingan ini selepas mendapat jaringan paling tinggi iaitu 19 gol dalam masa satu minit dan telah membawa pulang wang tunai RM1000.