Sukan Rakyat Rapat Ukhuwah Penduduk

150

Oleh : Ariss Alias

SETIU – Sukan rakyat, permainan berasaskan tradisi Melayu menjadi medan mengeratkan ukhwah penduduk Kampung Sungai Las.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Langkap, Azmi Maarof berkata,pelbagai lapisan yang menyertai sukan tersebut termasuklah warga emas.

“Saya lihat penyertaan dari pelbagai lapisan usia, kanak-kanak sehingga warga emas, baguslah dengan aktiviti seumpama ini semoga dapat mengeratkan lagi hubungan antara kita.

‘Saya juga teruja dengan semangat yang ditunjukkan oleh penduduk kampung yang mengambil bahagian dalam pertandingan,” ujarnya.

Beliau yang juga Pegawai Penyelaras DUN Langkap berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penutup Sukaneka Rakyat Kampung Sungai Las 2019, semalam, 12 Julai.

Menurutnya, beliau juga menekankan para peserta menjaga solat dan aurat ketika bermain sukan.

Pelbagai sukan seperti pertandingan tarik upih berpasangan, mengayam ketupat dan mencari gula-gula dalam tepung menarik penyertaan dari pelbagai lapisan usia.

Selain itu, Pengerusi MPKK Sungai Las Azrul Salleh berkata, sukan rakyat ini merupakan kali pertama diadakan di bawah penganjuran MPKK sejak ditubuhkan pada setahun yang lepas.

“Saya gembira dengan penyertaan yang boleh dikatakan hampir kesemua penduduk hadir bagi sama-sama memeriahkan sukaneka ini.

“Insya Allah jika diizinkan, pihak MPKK sememangnya merancang untuk buat sekali lagi pada bulan hadapan dengan skala lebih besar,” tambah beliau lagi.