Sukan Patuh Syariah : ‘Tak Kenal Maka Tak Cinta’

179

1. DPPNT melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan ketua pengarah MSN Dato Ahmad Sapawi bin Ismail yang menempelak kerajaan Terengganu berhubung penarikan diri atlet Terengganu dalam sukan gimnastik dan gimrama selari dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh YB Ustaz Wan Sukairi bin Wan Abdullah kepada wartawan bertarikh 3 September 2019.

2. Perlu difahami bahawa isu penarikan diri atlet dari dua acara terbabit diputuskan kerana melibatkan kemungkaran yang nyata daripada arahan yang jelas oleh Allah swt dalam al-Quran, bukanlah semata-mata isu naik syahwat atau perasaan ghairah mereka yang terlibat dalam sukan terbabit.

3. Dua sukan terbabit melibatkan atlet terpaksa berpakaian mencolok mata dengan berpakaian ketat yang jelas menampakkan bentuk tubuh badan. Begitu juga keadaan sukan itu sendiri yang mempamerkan lenggok tubuh seorang wanita yang tidak melambangkan kesopanan dan ciri-ciri ketimuran rakyat Malaysia. Apatahlagi keadaan ini memang tidak sesuai dengan jolokkan nama Darul Iman pada negeri Terengganu

4. Dalam masa yang sama, pembangunan sukan-sukan teras yang lain masih tetap diperkasakan oleh pihak Kerajaan Terengganu dengan lebih hebat bagi memastikan Terengganu kekal sebagai kuasa sukan terbesar dalam Malaysia selari dengan tuntutan Islam yang mahukan umat yang kuat dari segi jasmani dan emosi. Janganlah hanya kerana 2 jenis sukan yang terang-terangan bercanggah dengan syariat Islam, MSN mengenepikan sumbangan atlet Terengganu di persada sukan dalam mengharumkan nama Negara.

5. Komitmen kerajaan negeri Terengganu untuk membuat perubahan dalam sukan mengikut syariat Islam secara berperingkat dengan mengambil pandangan semua pemegang taruh (stakeholder) perlulah dihormati oleh semua pihak.

6. DPPNT menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan Terengganu diatas keputusan ini yang sekaligus telah mengangkat martabat wanita ke satu peringkat yang lebih tinggi dan menjaga kesucian fitrah mereka seperti yang telah dianjurkan oleh Islam. Dalam Islam wanita bukanlah alat dagangan atau alat hiburan yang boleh diguna sesuka hati oleh sesiapa sahaja. Kita berharap negeri-negeri yang lain juga boleh mengikut jejak langkah Terengganu dalam isu ini.

7. DPPNT juga menjemput Ketua Pengarah MSN untuk bertandang ke bumi Darul Iman ini bagi membincangkan lebih lanjut tentang isu-isu sukan agar usaha memperkasakan sukan patuh syariah ini boleh dikembangkan di seluruh Malaysia. Benarlah kata pepatah melayu “Tak kenal maka tak cinta”.

Ustaz Mohd Nasir bin Abdul Razak
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu