Suara Kaum Hawa Akan Bawa Perubahan

739

Oleh : Rohayati Ripin (RR)

KUALA NERUS – Suara ‘kaum hawa’ akan sampai ke dalam masyarakat dengan pelantikan golongan wanita muda sebagai Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan keselamatan Kampung (J3K).

Ahli Jawatankuasa J3K Telipot, Siti Noor Amani binti Mohamad, 30, yakin, suara muslimat akan membawa perubahan di peringkat kampung dalam Daerah Kuala Nerus.

“Saya rasa bangga melihat Terengganu ditadbir oleh kerajaan teknokrat Islam dan sedikit terkejut apabila dilantik menjadi AJK,

“Oleh sebab kebiasaannya…..AJK ini orang yang lebih berumur dilantik kerana lebih berpengalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam Majlis Taklimat dan Penyampaian Surat Perlantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa J3K peringkat Kuala Nerus semalam, Selasa, 24 Julai.

Siti Noor Amani binti Mohamad

Namun begitu, beliau menyifatkan kepercayaan kerajaan kepada beliau, merupakan satu tanggungjawab yang besar yang harus dipikul oleh setiap orang yang dilantik.

Oleh itu, beliau berazam akan memberikan tenaga dan pemikiran untuk membangunkan masyarakat bagi mencapai objektif kerajaan kearah menjadikan negeri ini, Maju, Berkat Dan Sejahtera.

“dari segi ilmu, akhlak serta kebajikan penduduk diperingkat kampung supaya tidak tercicir (dari arus kemajuan),

“Kalau dulu banyak kekangan sebab kita bukan kerajaan dan kebanyakan ahli masyarakat takut nak dekat program berlabel parti,” jelasnya.

Selain beliau, seorang lagi AJK J3K yang ditemui, Hajah Fadhilah Mohamad menzahirkan terharu dengan kepercayaan yang diberikan oleh orang kampung.

Hajah Fadhilah Mohamad

Beliau menyokong saranan ADUN Tepoh Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, agar semua J3K menjadi Petugas Mukmin Profesional.

“Apabila dilantik dalam kerajaan maknanya kerja kita lebih sistematik dan tugas lebih berat bila terikat dengan adanya elaun serta syarat,

“dan kita diberi amanah tak leh (tak boleh) nak abai……kena buat sebaik mungkin,

“serta jangan menganggap ianya ringan kerana itu adalah satu amanah yang diberi pada kita,” katanya.

Menurutnya, apabila sudah menjadi kerajaan bermakna menanggung tanggungjawab yang lebih besar dan mencabar.