SRIDI Mercu Kejayaan PAS DUN Bukit Besi

676

Oleh : Adli Mohamad.

DUNGUN – Kewujudan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di bandar Al-Muktafi Billal Shah, merupakan mercu kejayaan PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi bagi tahun 2018, walaupun belum menang dalam pilihan raya umum Mei lalu.

Pengarah Majlis Tindakan DUN tersebut, Haji Ghazali Sulaiman berkata, ia disifatkan kejayaan, kerana sudah lama PAS berjuang agar sekolah seumpamanya dapat dibangunkan di kawasan itu.

“Jika hendak dikira, ada kejayaan lain dari sudut bantuan kemasyarakatan dan pembangunan, namun dari sudut pendidikan Islam, SRIDI ini adalah satu pencapaian yang terbaik,

“Dan menjadi perkara baru di Bukit Besi, ianya telah membuktikan segala agenda kerajaan PAS yang dihasratkan bukan semata-mata ‘cakap-cakap kosong’,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika dihubungi semalam, menjelang permulaan hari pertama persekokahan bagi sesi baru 2019.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, keadaan kesihatan hli Jawatankuasa MTD Bukit Besi, Abas Ghani yang diserang ‘angin ahmar'(stroke) sudah stabil, setelah mendapat rawatan di hospital Melaka.

“Sebaik dimaklumkan, saya terus bergegas ke sana. Beliau dimaklumkan oleh isterinya pada pukul 2.45 pagi Jumaat, kerana mengalami pendarahan dalam kepala.

“Dan ini masuk hari kedua, keadaanya sudah kembali stabil, dan dalam usaha untuk pindahkan beliau, dari Hospital Besar Melaka ke hospital swasta Terengganu,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau mengharapkan doa dari semua pihak agar Abas Ghani yang begitu berjasa pada PAS Dungun sekian lama, agar kembali pulih dan sembuh seperti sediakala.