Solidariti Pertahankan Kedaulatan Islam

863

Oleh : Adli Mohamad.

KUALA TERENGGANU – Umat Islam pada hari ini akan bersolidariti dalam satu himpunan di Kuala Lumpur bagi mempertahankan kedaulatan Islam di atas ancaman dan percubaan kerajaan Pakatan Harapan(PH) yang mencampuri urusan agama Islam.

Ketua Muslimat PAS Kawasan Dungun, Khairiah Mokti berkata, antara perkara yang akan dibawa dalam Himpunan Pertahankan Islam itu ialah kedudukan ‘Rom Statut’ dan juga keadilan kepada Pegawai Bomba dan Penyelamat Malaysia yang terkorban.

“Di mana kes Pegawai Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim yang kita tahu masih tidak berkesudahan, jadi kita menuntut keadilan terhadapnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, dalam perjalanan ke Himpunan Daulat 405, Pertahankan Islam, di Hentian Gambang Barat, pada pagi ini.

Sehubungan itu juga beliau turut melahirkan rasa kesal di atas usaha kerajaan PH yang ingin menghilangkan status agama pada kad pengenalan, kerana dakwaan mereka menghilangkan sikap perkauman.

“Kita sebenarnya bukan rasis, tapi kita dah lama berdiam dan bertolak ansur.

“Sekarang mereka telah menzahirkan isi hati dan tujuan sebenar mereka terhadap negara, “ujarnya.

Oleh kerana itu menurutnya, muslimat PAS Dungun amat menyokong perhimpunan ini.

“Jangan mereka merasakan bahawa mereka berhak mencampuri urusan orang bukan Islam.

“Umat Islam sebenarnya begitu sensitif apabila menyedari agama Islam ini diinjak-injak,” tegasnya.

Keberanian PH mencampuri urusan orang Islam menurut Khairiah, kerana adanya sokongan dari kalangan ahli parlimen Islam itu sendiri yang dilihat membela dan selalu menyokong tindakan DAP yang merupakan komponen didalam PH.

“Saya sekarang bersama rombongan seramai 24 orang dari Kawasan Dungun yang menaiki sebuah bas akan berhimpun mewakili Parlimen Dungun.

“Walaupun kami tidak ramai, tetapi kami tetap juga hadir menyatakan pendirian kami dan menunjukkan solidariti kami dalam membela bangsa, agama dan negara.

“InsyaAllah, apabila bercantum nanti akan membentuk menjadi lautan manusia yang akan sama-sama berhimpun mempertahankan kedaulatan Islam,” ujarnya.