Skim PAS Untuk Kebajikan Ahli

310

Oleh : Azizah Mahmood

KUALA TERENGGANU – Semua ahli Parti Islam Se-Malaysia(PAS) diseru untuk menyertai ‘Skim PAS’ yang diujudkan untuk menjaga kebajikan ahli dan juga keluarga sekiranya ditimpa musibah.

Yang Di Pertua PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah mengingatkan bahawa peluang itu tiada di tempat lain tetapi hanya ada dalam PAS sahaja.

“Justeru, saya menyeru untuk kita mengambil peluang mendaftar Skim PAS yang hanya RM55 setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Kad dan Sijil Skim PAS di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam di sini, semalam.

Di majlis yang sama, Wan Sukairi yang telah mendaftar sebagai ahli Skim PAS turut menerima kad dan sijil skim takaful itu.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha PAS kawasan itu, Ustaz Mohd Soud Said yang juga ahli skim tersebut.

Beliau menambah, kebajikan ahli PAS hendaklah dijaga kerana mereka bekerja tanpa mengira masa dan tempat.

“Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak di ingini insyaAllah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat akan membantu kita dengan Skim PAS ini,” jelasnya.

Manakala Pengarah III MTD, Radzali A. Ghani berkata, beliau mendaftar ketika skim tersebut mula diperkenalkan dan dibuka pendaftarannya di DUN Wakaf Mempelam.

” Alhamdulillah, saya juga mengarahkan Ahli Jawatankuasa(AJK) Majlis Tindakan DUN(MTD) lainnya untuk turut serta dalam menjaga kebajikan diri sendiri dan keluarga,” tambah beliau.