Singgah Sahur Santuni ‘Penjaga Malam’

250
Khairul bergambar bersama pengawal keselamatan di salah satu buah sekolah di Batu Rakit semasa menyampaikan juadah bersahur

Oleh : Dzakaria Mohd Salleh

SETIU – Penyelaras Pemuda Dewan Undangan Negeri (PPD) PAS Batu Rakit meneruskan tradisi menyantuni golongan ‘penjaga malam’ dengan mengunjungi mereka menyerahkan juadah bersahur.

Menurut Ketuanya, Mohd Khairul Nizam Rozali, program ‘Singgah Sahur’ yang diadakan adalah sebagai menghargai khidmat mereka yang bersengkang mata menjaga keselamatan awam daripada sebarang ancaman.

“Ini tahun ke tiga kita menyantuni mereka, kita berbesar hati dengan tanggungjawab mereka dalam menjalankan tugas demi kesejahteraan semua pihak.

“Kita hulurkan sedikit sumbangan bersahur sebagai tanda ingatan dan hubungan silaturrahim.” ujarnya ketika ditemui semasa mengagihkan juadah bersahur di Pondok Polis Batu Rakit pada awal pagi 17 Mei.

Suasana persiapan penyedian juadah bersahur sempena program “Singgah Sahur” PPD Batu Rakit

Lebih 60 orang terdiri dari pengawal keselamatan sekolah, klinik desa dan kesihatan, pekerja 7eleven menerima bungkusan nasi minyak beserta air untuk bersahur.

Tegas Mohd Khairul lagi sumbangan yang diberikan merupakan sebahagian daripada pelbagai program khidmat sosial yang dilakukan sebelum ini.

“Tahniah dan terima kasih kepada Ajk PPD dan Unit Amal yang bertungkus lumus menjayakan program ini bermula selepas solat terawih lagi sehingga segalanya selesai.” ujarnya gembira, sebelum program berakhir jam lima pagi.