Sikap Sambil Lewa Kerajaan Bakal Mengundang Bencana

297

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2009/12/IMG_5785.JPGAhli Dewan Undangan Negeri (DUN) PAS Kawasan Ladang, Dato’ Tengku Hassan Omar menggesa pihak bertanggungjawab ke atas projek pembinaan Taman Panorama di Bukit Pak Apil, Jalan Cerong Lanjut, mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tanah runtuh dan hakisan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, permasalahan ini pernah dibangkitkan dalam sidang DUN lalu, namun pihak berkenaan masih tidak mengambil sebarang tindakan, malah membiarkan masalah itu berlarutan sehingga hari ini.

“Saya difahamkan, projek pembinaan ini adalah di bawah Kerajaan Negeri. Sejak projek pembinaan ini beroperasi tahun lepas, pelbagai masalah timbul terutama melibatkan kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh yang terpaksa ditanggung penduduk setempat.:

“Ini sebab, projek pembinaan ini dilihat langsung tidak mengutamakan aspek keselamatan dan tidak mengambil sebarang langkah bagi mencegah berlakunya masalah tanah runtuh dan hakisan, terutama apabila hujan lebat,” katanya.:

Tengku Hassan berkata, sikap tidak bertanggungjawab pihak berkenaan menyebabkan penduduk di kawasan perumahan berdekatan terpaksa berhadapan risiko banjir lumpur dan tanah runtuh setiap kali hujan lebat berterusan.

“Ini adalah tahun kedua penduduk terpaksa menanggung derita akibat sikap ‘sambil lewa’ pihak berkenaan. Kejadian terbaru, pada 1 Disember lalu, 10 buah rumah penduduk perumahan di sini dinaiki air lumpur berpunca daripada tanah lumpur bukit berkenaan.

“Tahun lalu, pernah berlaku tanah runtuh yang menyebabkan penduduk berhampiran kaki bukit berkenaan menjadi mangsa keadaan. Jadi, sebelum bertambah masalah lain akibat ketidakprihatinan pihak berkenaan, saya harap tindakan segera diambil dan sewajarnya Kerajaan Negeri memandang serius berhubung masalah ini,” katanya.

Beliau dimaklumkan, pihak berkenaan ada ‘usaha’ untuk membina longkang namun sehingga hari ini, hanya peralatan pembinaan sahaja dilihat tersadai di kawasan berkenaan sejak hampir tiga bulan lalu, tetapi kerja-kerja yang sepatutnya masih belum dijalankan.