Sibukkan Diri Dengan Kebaikan, Jadi Isteri Dan Ibu Terbaik

1062

KUALA TERENGGANU – Sibukkanlah diri dengan melakukan kebaikan dalam kehidupan dan tinggalkan perkara yang sia-sia dan tidak bermanfaat kepada diri dan orang lain.

Pengarah Ameerah Negeri Terengganu, Hajah Zuraida Md Noor berkata, setiap daripada kita perlu berubah ke arah yang lebih baik.

“Perubahan ini termasuklah daripada segi pemikiran, sahsiah, ilmu pengetahuan, kompetensi dan ‘sense of urgency’.

“Agar kita sentiasa responsif, relevan, cekap, cepat dan berkesan agar kita menjadi rakyat Terengganu yang lebih berdaya saing dan maju, ” tegas beliau dalam satu kenyataan sempena Tahun Baru 2019, di sini lewaat semalam, 31 Disember.

Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, ia adalah perkara paling asas untuk semua yang merupakan tonggak kepada kerajaan Negeri Terengganu.

“Kita tidak boleh kekal selesa pada tahap pencapaian yang sedia ada, jika kita adalah isteri, maka jadilah isteri yang terbaik untuk suami.

“Jika kita adalah ibu, maka jadilah ibu yang terbaik untuk anak anak, jika kita adalah pekerja maka jadilah pekerja yang terbaik untuk majikan,” tambahnya lagi.

Oleh itu, beliau mengajak semua ‘kaum hawa’ agar menjadikan tahun 2019 sebagai yang terbaik dan bersama-sama berjuang untuk memperkasakan wanita.

“percayalah apabila wanita bahagia, keluarga akan turut gembira, masyarakat akan terbina dengan jayanya dan negeri akan sejahtera, InsyaAllah,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Zuraida turut tidak melupakan pelajar – pelajar yang akan kembali ke sekolah.

“Semoga menjadi pelajar yang cemerlang di dunia dan di akhirat, ” ujar beliau.