Siasat DAP, LGE

455

Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) membuat laporan bagi menggesa pihak polis melakukan siasatan terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang berunsur perkauman.

Ketuanya, Ustaz Mohd Nasir Razak berkata, ia dibuat berasaskan satu tulisan dalam portal rasmi DAP yang bertajuk “ Speech by DAP Secretary-General and MP for Bagan Lim Guan Eng at the DAP Johor State Annual Convention in Muar ” pada 3hb November lalu.

Tegasnya, kenyataan yang dikeluarkan semasa konvensyen tahunan DAP Johor adalah berbentuk provokasi dan hasutan, berupaya menimbulkan perasaan benci, kacau bilau dan ketegangan antara kaum serta agama di Malaysia.

“Saya merasakan ucapan tersebut tidak layak dikeluarkan daripada mulut seorang menteri kanan kerana ia boleh mencetuskan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat dalam negara ini.

“Dalam ucapan tersebut, beliau menuduh muafakat antara PAS dan UMNO akan menyebabkan orang bukan melayu dan bukan islam tidak akan dapat menjadi Menteri Kabinet.

“Malah katanya, apabila MCA menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang akan datang mengakibatkan Sekolah Vernakular akan ditutup,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan Polis di Ibu Polis Kontinjen Kuala Terengganu, di sini semalam.

Menurut beliau, tuduhan fitnah kedua yang dilontarkan Lim Guan Eng dengan menganggap produk dan perniagaan bukan islam akan diboikot oleh orang melayu adalah tidak berasas.

“Saya mengharapkan agar pihak polis mengambil tindakan terhadap individu tersebut serta menyiasat insiden ini dibawa peruntukan undang-undang yang ada khususnya Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kami (DPPNT) akan meneruskan usaha ini dan menekan Kerajaan Pakatan Harapan yang semakin hari semakin celaru, kami akan terus membela hak-hak masyarakat yang ada pada hari ini,” tambah beliau.