Siasat Dan Ambil Tindakan!

329

Oleh : Izzat Al Qushairi

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menggesa agar pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan selanjutnya keatas laporan polis terhadap Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Xiaver Jayakumar.

Ketua DPPNT, Ustaz Nasir Razak menegaskan, ucapan Xiaver yang berbunyi ‘this Parliament will be rubbish and this Parliament sitting is worthless’ adalah keterlaluan.

Menurutnya, ia boleh mendatangkan kebencian serta membangkitkan rasa tidak puas hati kepada Yang Dipertuan Agong (YDPA), institusi Diraja dan kerajaan Malaysia.

“Tindakan itu jelas merupakan satu penghinaan dan menyentuh sensitiviti ummah hari ini serta boleh menyebabkan suasana keharmonian dan perpaduan masyarakat hari ini terganggu,” tegas beliau ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata laporan polis telah dibuat, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu pada Sabtu, 23 Mel lalu.

Sementera itu, pihak DPPNT turut membuat laporan polis terhadap satu artikel di portal MalayMail yang ditulis oleh Baktiar Talhah bertajuk ‘Times For Malaysia Embrace LGBT Community’.

Naib Ketua DPPNT, Ustaz Hamdi Harun yang hadir sama berkata, artikel berkenaan jelas melanggar dan tidak tepat dalam undang-undang di Malaysia mana yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi.

Hamdi berkata, kenyataan yang tidak sihat bahkan bertentangan dengan agama Islam ini juga pernah ditegaskan oleh Mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir bahawa kerajaan Malaysia tidak akan mengiktiraf golongan LGBT.

“Muzakarah fatwa juga menyatakan untuk tidak mengiktiraf golongan LGBT dan menegaskan perlakuan tersebut adalah haram.

“Tindakan membuat laporan polis ini adalah sebagai tanda bantahan dan mendesak pihak berkuasa supaya menyiasat dan juga mengambil tindakan tegas agar keharmonian dalam negara ini terjamin,” tambah beliau.

Turut hadir bersama Pengerusi DHPPNT, Dr Balachandran, KDPPKS, Ustaz Mohd Shafizi Ismail, KDPPKN Ustaz Riduan Abu Bakar, AJK DPPNT Ustaz Ayub Ngah, Ustaz Irsyad Syafik dan Ustaz Nasir Othman.