Siar Karikatur Menghina; KDN Perlu Ambil Tindakan Perundangan

2289

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) menyokong penuh tindakan perundangan dibuat terhadap Nanyang Siang Pau walaupun mereka telah menyiarkan permohonan maaf secara terbuka yang ditafsirkan masih tersirat dengan keterpaksaan tanpa keikhlasan.

Bukan semua salah boleh selesai dengan permohonan maaf. Sebab itu negara ini ada undang-undang dan mahkamah. Kalau semua yang minta maaf terlepas dari tindakan undang-undang maka mudahlah kerja mahkamah.

Yang buat salah pula tak perlu fikir panjang untuk ulang lagi kesalahan. Terkantoi boleh minta maaf lagi. Lepas tu buat lagi.

Walau kita tahu MCA di belakang Nanyang Siang Pau, kita yakin KDN akan melaksanakan proses undang-undang sebagaimana peruntukan yang ada.

Bagi pihak KAMI, syabas diucapkan kepada KDN atas tindakan segera memanggil Ketua Pengarang Nanyang Siang Pau dan memberikan tempoh 3 hari untuk surat tunjuk sebab sebelum tindakan seterusnya.

Saya melihat penghinaan bukan hanya ditujukan kepada YB Speaker Dewan Rakyat dan YB Ahli Parlimen Marang tetapi juga kepada Institusi Parlimen dan yang lebih besar penghinaan kepada Islam.

Dr Azman Ibrahim
Pengerusi KAMI
11 April, 2017