Siap Siaga Mulai Sekarang

282

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – Jentera parti bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) diarah bersiapsiaga mulai sekarang sebagai persediaan dalam menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) yang ke 15.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata pilihanraya akan diadakan pada bila-bila masa daripada sekarang melihat kepada keadaan semasa.

“Di sini kita perlu jentera yang kuat khususnya dalam menakluki hati anak muda. Justeru itu gerakerja wajib dibuat bermula sekarang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pelancaran Gerakerja dan Tabung Sriyya PRU-15 Muslimat Marang, di sini, pada Khamis, 9 Julai.

Turut hadir ialah Ketua Muslimat PAS Kawasan Marang, To’ Puan Zarani Othman dan isteri-isteri ADUN bagi kawasan Marang iaitu isteri kepada ADUN Bukit Payung, Zainun Abd Wahab, isteri ADUN Pengkalan Berangan, Hafizah Abdulrahman dan isteri ADUN Alur Limbat, Arinah Lah.

Dalam taujihatnya juga, beliau berkata parti itu mesti memiliki kerusi yang kuat dalam berdepan cabaran PRU-15 ini termasuklah daftar pengundi sebanyak mungkin, cawangan mesti banyak dan dihidupkan.

“Banyak anak-anak muda mengundi dengan handphone. Bukan berpandukan agama. Yang ini kita perlu ubah dengan mengadakan pelbagai pendekatan yang boleh memenangi hati anak muda.

“Oleh kerana nak menawan hati manusia, mestilah daripada hati yang ikhlas. Hati yang ikhlas kerana Allah taala boleh melembutkan hati yang keras. Percayalah kempen dengan duit sementara waktu sahaja.

“Kempen dengan hati yang ikhlas ini memberi kefahaman yang mendalam dalam jiwa manusia. Tak dinafikan kempen dengan duit dan bantuan pun kena ada bahkan dalam Islam ada bahagian muallaf dan fakir miskin” tambahnya lagi.