‘Sesuap Kasih’ Menunaikan Tanggungjawab Memberi Makan

427

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Program ‘Sesuap Kasih’ memberi makan percuma kepada asnaf fakir dan miskin adalah program yang sangat baik, memudahkan orang ramai menunaikan tanggungjawab membantu golongan terbabit.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, program tersebut memberi ruang orang ramai untuk membantu golongan yang disasarkan.

Beliau berkata, ia bersesuaian dan menjadi tanggungjawab orang ramai membuat kebajikan membantu rakyat.

“Ini menjadi tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang ada pendapatan (lebih) sikit…. yang ada duit sikit dan lebih harta sikit boleh beri sumbangan kepada orang susah.

“Dan ia juga satu tanggungjawab sosial. kadang-kadang orang fikir kerajaan sokmo, sikit- sikit nak bantuan kena (minta kepada) Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat MAIDAM dan Tabung Darul Iman,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Dakwah dan Penerangan negeri, berkata demikian ketika melancarkan Program Sesuap Kasih, di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan juga boleh berperanan bagi membantu golongan terbabit.

Oleh itu, Ustaz Mohd Nor berkata, mana-mana institusi masyarakat (samada) MPKK dan Pejabat Agama Daerah lain juga boleh ambil inisiatif seumpama ini untuk membantu masyarakat.

“Mana -mana orang nak bayar fidyah ataupun bernazar nak bagi makan orang miskin (terus berurusan dengan) Pejabat Agama Daerah untuk tunaikan tanggunggjawabnya dengan mudah,” ujarnya.

Program ‘Sesuap Kasih’ walaupun sumbangan tidak begitu besar tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban orang susah.

“Kita yang kemungkinan ada barang keperluan tapi dia tiada langsung sehari. Kita tidak tahu.

“Dan mudah-mudahan kerja seumpama ini dapat diteruskan lagi,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata program ‘Sesuap Kasih’ akan terus diadakan pada setiap hari Rabu pada pukul 12 tengahari di hadapan Kompleks Seri Iman.

‘Ini kali pertama insya Allah setiap hari rabu pukul 12 akan ada sedikit barang dapur keperluan diagihkan di sini mengikut keperluan yang ada.

“Dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang merancang dan menguruskan serta pemberi sumbangan pada hari ini,” tambahnya.