Sentimen Jahat PH

1330

KUALA TERENGGANU – Sentimen jahat sebahagian pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang menuding jari kepada empat ahli akademik terhadap tindakan penarikan keahlian Malaysia daripada Statut Rom adalah sangat tidak wajar berlaku.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir menyifatkan tindakan mereka jelas sekali tidak menghormati pendirian yang dibuat oleh Kabinet.

“Disebalik mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan keputusan tersebut, mereka mengambil langkah menyalahkan pihak lain.

“Kecaman “profesor kangkung”, “intellectual dishonesty” dan sebagainya sangat bertentangan dengan semangat kebebasan berhujah yang telah disampaikan dalam kerangka akademik.

“Lebih malang kecaman tersebut terus dihalakan kepada tokoh akademik dan penyelidik yang jelas mengeluarkan pandangan mereka berdasarkan perbahasan ilmiah.’ ujar Shahruzukirnain dalam satu kenyataan media pada 9 April.

Menurutnya lagi tindakan Kerajaan dalam meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tahun lalu adalah sebahagian daripada semangat membebaskan institusi akademik daripada cengkaman politik.

“Ironinya, tindakan tersebut jelas sekali bertentangan dengan slogan kebebasan akademik yang dilaungkan sebelumnya’

Justeru, kata beliau, pihak tertentu tidak sewajarnya mengalihkan tanggungjawab Kerajaan dengan memberikan pendedahan kepada rakyat agar kekeliruan yang ditimbulkan oleh Kerajaan dapat diselesaikan.

“Pembelaan terhadap ahli akademik sewajarnya diberikan oleh semua pihak.’ katanya yang juga Yang DiPertua (YDP) PAS Kawasan Setiu.