Semoga Cahaya Islam Akan Sentiasa Menerangi Diri, Keluarga Dan Negara Kita

177

UCAPAN PESURUHJAYA PAS TERENGGANU SEMPENA AIDILFITRI 1441H Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. Semoga cahaya Islam akan sentiasa menerangi diri kita, keluarga kita dan negara kita. Islam Memimpin Perpaduan

Posted by Harap TV on Saturday, May 23, 2020

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Alhamdulillah, marilah kita panjatkan rasa syukur kepada Allah S.W.T kerana masih diberi peluang untuk meraikan hari kemenangan bagi umat Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri. Setiap tahun apabila tibanya Hari Raya maka ramailah ahli keluarga akan berkumpul tidak kiralah yang jauh mahupun dekat. Tradisi ini juga telah menjadi satu amalan yang penting bagi masyarakat kita dalam menjaga hubungan silaturrahim.

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
وَٱلۡعَصۡرِ(١)إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ(٢)إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ(٣)

Masa dan manusia adalah makhluk Allah. Sebagaimana Allah telah bersumpah dengan masa, maka kita sebagai orang beriman harus faham betapa pentingnya masa dalam kehidupan kita. Saban tahun kita menyambut hari raya tapi tahun ini kita menyambut dalam suasana baru. Sehingga ke hari ini, kita masih diuji dengan wabak COVID19. Banyak nyawa telah terkorban di seluruh dunia namun kita masih berteka-teki bilakah semuanya akan berakhir.

Ada di antara kita yang mungkin rasa kelainan kerana terpaksa menyambut Hari Raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berjalan. Jangan bersedih, anggaplah ianya ujian dan ada hikmah yang Allah aturkan.

Bergembiralah kita, Ramadhan yang telah berlalu pergi berjaya melahirkan ramai imam-imam baru di setiap rumah orang Islam. Begitu juga di Hari Raya ini, setelah sebulan kita berada di Madrasah Ramadhan saya pasti Imam-imam baru ini tiada masalah untuk menjadi imam solat Hari Raya dan membaca khutbah raya bersama ahli keluarga mereka. Inilah satu bentuk hikmah yang Allah tunjukkan pada kita orang Islam. Semoga dengan usaha memahami agama ini akan wujudnya keluarga yang bahagia dan mendapat rahmat Allah sentiasa.

Hari Raya ialah hari kemenangan, namun musuh yang tidak dapat dilihat masih lagi bebas di luar sana. Marilah bekerjasama untuk putuskan rangkaian COVID19 agar diri, keluarga dan masyarakat kita selamat. Maka saya ingin berpesan, sama-samalah kita mematuhi panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama dan Kerajaan. Tunjuklah contoh yang baik kepada orang ramai agar imej Islam itu dilihat baik dan kita juga terhindar dari fitnah musuh. Antara cadangan yang boleh digunakan :

1. Memastikan isi rumah tidak lebih dari 20 orang dalam satu masa
2. Sediakan hand sanitizer dan bersalamlah dengan meletakkan tangan di dada
3. Amalan ziarah kubur boleh digantikan dengan bacaan Yaasin
4. Manfaatkan teknologi untuk berhubung dengan saudara yang jauh
5. Tidak digalakkan membuat rumah terbuka
6. Jaga penjarakan sosial dan elakkan dari berada di tempat yang sesak

Sempena Hari Raya Aidilfitri 1441H/2020M, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah S.W.T agar dikurniakan hati yang taat pada perintah Allah, dikurniakan kepada kita dan masyarakat kita keluarga sakinah yang lahir hasil dari tarbiah Islamiyah yang baik. Berdoalah juga agar wabak COVID19 ini akan pergi dan kita dapat kembali mengimarahkan rumah Allah, melakukan Umrah dan Haji serta ibadat lain kerana Allah.

Mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin. Semoga cahaya Islam akan sentiasa menerangi diri kita, keluarga kita dan negara kita.

Siru Ala Barakatillah

Islam Memimpin Kemenangan

24 Mei 2020
1 Syawal 1441H

Yang benar,
YB Senator Dato’ Haji Husain bin Awang
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Negara