Selesaikan Isu Kelapa Sawit Dahulu

202

Kenyataan Menteri Industri Utama mencadangkan pekebun atau peneroka beralih kepada tanaman baharu seperti buluh, nanas dan kelapa bagi menggantikan tanaman kelapa sawit adalah mengecewakan rakyat. Rentetan harga minyak sawit yang merundum sejak kebelakangan ini berikutan tekanan di pasaran antarabangsa, Kerajaan seharusnya memberikan tumpuan dalam menyelesaikan isu kelapa sawit dahulu.

2. Di samping Kerajaan terus mengadakan perbincangan dan bantahan mengenai isu diskriminasi minyak sawit di negara-negara Eropah, Kerajaan juga perlu meningkatkan kualiti kepelbagaian produk sawit sama ada dalam dan luar negara. Pihak menteri dan agensi yang terbabit iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) seharusnya memberi fokus kepada usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menangani isu dalam industri sawit itu sendiri.

3. Usaha Kerajaan memperluaskan pasaran baharu di negara-negara lain seperti Iran, Turki dan Afrika haruslah dipertingkatkan lagi. Justeru Kerajaan tidak boleh mengambil jalan mudah dengan menukar tanaman komoditi itu dengan tanaman yang tidak pasti keberhasilan dan kesesuaiannya. Pada masa yang sama menukar sesuatu tanaman komoditi kepada tanaman alternatif lain bukan sesuatu yang mudah.

4. Tidak dapat dinafikan bahawa dengan cadangan pihak Kerajaan menyarankan pekebun kecil tidak bergantung kepada satu jenis tanaman sahaja merupakan satu alternatif bagi membantu pekebun kecil tetapi pihak Kerajaan perlulah menyediakan perancangan yang teliti agar menjadi satu panduan kepada rakyat.

5. Menteri Industri Utama sepatutnya mengadakan perbincangan yang realistik dan holistik bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam cadangan penanaman tanaman alternatif lain dapat dicapai. Sekiranya pihak menteri berkenaan bersungguh-sungguh dalam cadangan tanaman alternatif lain, kajian perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira cadangan dan pandangan rakyat.

“Islam Memimpin”

TUAN CHE ALIAS BIN HAMID
Ahli Parlimen Kemaman