Selamat menyambut Hari Pekerja 2019

407
YB Senator Dato’ Haji Husain bin Awang, Pesuruhjaya PAS Negei Terengganu merangkap Ahli Dewan Negara

Dan Katakanlah (wahai Muhammad): “Bekerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan” . [9]:105

Alhamdulillah, bersyukurlah buat semua warga pekerja kerana pada tahun ini kita masih dapat menyambut Hari Pekerja 2019 dalam keadaan negara kita aman dan sejahtera. Sekalung penghargaan buat semua Jemaah atau warga pekerja yang Istiqomah bekerja tanpa mengira masa, tenaga dan juga wang ringgit. Yakinlah kita dengan janji Allah sebagaimana dalam surah Muhammad ayat 47.

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”

Bekerja ialah suatu tuntutan yang perlu dilaksanakan oleh setiap orang Islam. Jika diperhalusi sirah-sirah para Rasul dan Para Nabi, kita akan mendapati setiap dari mereka juga perlu bekerja seperti kita. Ada yang bekerja sebagai usahawan seperti Baginda Rasulullah s.a.w dan ada juga bekerja sebagai pemerintah sebagaimana Nabi Yusuf a.s.

Namun dalam kita meraikan hari pekerja ini, janganlah kita lupa kepada mereka yang diberhentikan atau kehilangan kerja kerana perubahan dasar negara dan juga masalah ekonomi yang melanda negara kita. Masalah pengangguran dikalangan graduan atau yang sudah lama tidak bekerja juga masih menjadi isu yang perlu kita sama-sama selesaikan. Oleh itu, sentiasalah kita mencari ruang dan peluang untuk kita membantu mereka bukannya merendah-rendahkan mereka di atas kelebihan yang Allah berikan kepada kita.

Kejayaan yang kita dapat pada hari ini ialah hasil kerja dari ramai pihak, mereka yang mahukan perubahan, mereka yang mahukan keadilan dan juga mereka yang mahukan Islam memerintah. Pada suatu masa dahulu, kita diperintah oleh kerajaan yang bermasalah dan kini kita diberi tanggungjawab untuk bekerja mengubahnya pula.

Hari pekerja diraikan kerana kita menghargai sumbangan pekerja sebagai agen dalam membawa perubahan kepada negara. Pada masa yang sama janganlah kita menidakkan peranan majikan yang banyak mengajar kita erti bekerja. Usahlah dipersiakan pengorbanan mereka yang terdahulu, bekerjasamalah kita sebagai suatu jamaah yang memburu redha Allah bukannya mereka yang mengejar kekayaan semata-mata kerana setiap dari kita pasti akan dipersoal dihadapan Allah di atas apa yang kita kerjakan.

Oleh itu, wajarlah kita sebagai warga pekerja bersyukur dengan nikmat yang sudah diperolehi ini. Kita ingin melihat negeri Terengganu ini negeri yang Maju, Berkat dan Sejahtera di bawah naungan Islam yang memimpin. Kita adalah warga pekerja yang Allah harapkan sebagai khalifah di muka bumi ini dan berazamlah kita untuk memperbaiki kehidupan masyarakat terutama orang Islam dalam menghadapi zaman yang lebih mencabar ini.

Akhir kata, mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga pekerja di Negeri Terengganu Darul Iman yang Istiqamah bekerja untuk melihat Islam memerintah. Kami disini menghargai sumbangan muslimin, muslimat semua, Hasbunallah wa Ni’mal Wakiil (cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung) [3]:173

Selamat menyambut Hari Pekerja 2019

YB Senator Dato’ Haji Husain bin Awang
Pesuruhjaya PAS Negei Terengganu
Ahli Dewan Negara