Selamat Datang Ke Jabi YAB Dato’ Seri………

715
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita2/mahathir%20jabi.jpg

Datangnya atas nama Perdana Menteri Malaysia walaupun persekitaran lokasinya mula kebiruan dan kemerahan dengan kibaran bendera berlambang dacing dan keris.

Kami warga Jabi mengucapkan, selamat datang YAB Dato’ Seri… Sinonimnya bumi Jabi memang biasa dikunjungi oleh insan yang bergelar Perdana Menteri termasuk Allahyarham Tun Hussein Onn, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan yang terkini Perdana Menteri Pengasas Slogan 1 Malaysia!
Menariknya, pada 2004 sebaik sahaja pulang dari melakukakan lawatan rasmi ke Jabi yang bertapak di Kampung Kerandang ketika itu, Pak Lah mengumumkan pembubaran Parlimen. Apakah seterusnya pembubaran Parlimen akan diumumkan sebaik Najib pulang dari Jabi?

Umum mengetahui, Perdana Menteri 1 Malaysia ini memang pantang kalau apa-apa majlis yang dihadirinya tak dipenuhi lautan manusia, kalau itu yang berlaku, siaplah penganjur kena tadah telinga. Kerana itulah, tak pelik bin ajaib, bila Jabatan Pelajaran Daerah Besut dan Setiu telah mengeluarkan arahan mewajibkan para pelajar dan guru-guru sekolah-sekolah di sekitar Dun Jabi, wajib menghadirkan diri! Rakan-rakan yang bertugas sebagai guru telah mengesahkan arahan ini. Seorang teman yang bertugas di Pejabat Haiwan Besut memaklumkan, mereka juga diwajibkan hadir dan menandatangani kedatangan. Sebaik borang kedatangan ditandatangani, mereka akan menerima RM50 seorang! Sekadar mengemukakan contoh yang mempunyai bukti kukuh dengan keyakinan bahawa Jabatan-Jabatan lain juga pastinya telah menerima arahan yang serupa.

Telah dicanangkan di dada-dada akhbar, seramai 20,000 rakyat akan hadir untuk berhari raya bersama YAB PM dan isterinya. Persiapan tentunya bukan alang kepalang dan bukan lagi hintungan duit rakyat yang diperuntukkan. Seorang AJK JKKK sebuah kampung di Jabi memaklumkan, kampungnya ditugaskan untuk menyediakan 2 kawah gulai daging lembu dengan peruntukan sebanyak RM5 ribu. Waduuhh!… lumayan sekali Pak JKKK! Satu kawah gulai yang biasa dibuat orang, ongkosnya tak lebih dari RM1 ribu Pak! Lainlah kalau yang digulai itu daging unta atau daging rusa. Dikhabarkan sebanyak 30 kawah gulai akan disediakan. Maknanya RM75 ribu, baru gulai lembu. Satay… paling kurang seorang makan 3 cucuk. Untuk 20,000 orang tetamu, fuuhh!! 60,000 cucuk satay diperlukan. Harga biasa di Jabi, 3 cucuk seringgit. Maknanya RM20 ribu diperlukan. Tapi kalau ikut teori peruntukan untuk gulai kawah, pastinya berkali ganda lagi.

Tapai pulut yang dibungkus dengan daun getah memang hidangan wajib hari raya bagi masyarakat sekitar Besut. Sebuah kampung yang sinonim dengan banyaknya kebun getah di laluan menuju ke tempat perkelahan Lata Belatan antara yang ditugaskan menyediakan tapai ini. Jumlahnya dikhabarkan… 50 ribu butir! Huuhh! Banyaknya… Saya bimbang 2 kemungkinan sahaja berlaku. Pertama… ramai pengunjung akan mabuk tapai, kedua… kesian, pohon-pohon getah akan jadi tak berdaun. Malaysian Book of Records, jangan lupa rekodkan, inilah majlis dengan jumlah tapai terbanyak pernah dihidangkan.

Dikhabarkan, pesawat khas Kerajaan Malaysia yang akan dinaiki YAB Perdana Menteri dan isteri dijadualkan mendarat di Pengkalan Udara Gong Kedak pada pagi 6 September, Pengkalan Udara yang menempatkan pesawat Sukhoi yang sebahagian besarnya tidak lagi mampu terbang. Sepanjang jalan dari Gong Kedak menuju ke Jabi telah dihias indah dan dirapikan. Potret tetamu Dun Jabi ini telah menghiasi hampir keseluruhan tiang-tiang lektrik sepanjang jalan-jalan utama. Potret YAB MB Terengganu pun turut tumpang sekaki.

Begitulah selalunya yang menjadi amalan. Pandangan mata seorang pemimpin besar mesti dijaga sebaiknya, paparan di hadapannya mesti lengkap sempurna, sepadan dengan tarafnya sebagai Perdana Menteri, tak sepatutnya mata YAB Dato’ Seri diserabutkan dengan melihat realiti kehidupan sebenar rakyat yang kusam dan tak bermaya. Wakil-wakil rakyat dari dun-dun sekitar juga tentunya ingin menampilkan gambaran terbaik tentang dun mereka supaya peluang untuk kembali dicalonkan lebih cerah. YAB MB juga tentunya tidak ingin melepaskan peluang bagi ‘membodek’ Perdana Menteri. Dengan statusnya sebagai MB dokongan istana, musuh pula keliling pinggang, termasuklah Adun Jabi yang turut menyertai team budak hitam, pengiktirafan dari PM amat-amat diperlukan oleh MB Ahmad Said.

Walaupun begitu, saya mengesyorkan dan tak ralat bagi YB Adun Jabi untuk mengundang YAB  Perdana Menteri singgah ke terataknya yang dibina dengan kos melebihi setengah juta ringgit supaya Perdana Menteri boleh menyaksikan dengan matanya sendiri bukti kemakmuran negara dan kejayaan pelbagai program transformasinya serta keteguhan ekonomi negara sehingga rakyat di suatu kawasan luar bandar seperti Jabi bisa untuk memiliki kemewahan ini semua. Buktinya, lihatlah sendiri kediaman dan kenderaan yang dimiliki oleh YB Wakil Rakyat Jabi.

Kalau YAB Perdana Menteri sudi, jemputlah sekali beliau merasai kehidupan rakyat dengan menumpang Harrier baru YB. Apa salahnya tolong khabarkan sekali kepada YAB Dato’ Seri, periuk nasi utama rakyat di Jabi adalah di sawah dan di kebun. Sepanjang 2 penggal saya menjadi wakil rakyat di sini, pelbagai program transformasi pertanian telah saya buat selaras dengan hasrat kerajaan pimpinan Dato’ Seri, antaranya saya sendiri telah memiliki puluhan ekar ladang sawit di Gong Dohud, bukankah kepimpinan itu melalui teladan! Untuk rakyat, Dato’ Seri jangan bimbang, ianya tetap keutamaan saya sebagai wakil rakyat. Saya telah merancang untuk membahagikan 5 pokok anak kelapa sawit bagi setiap rumah di Dun Jabi. Lumayan bukan?

Saya juga berjanji akan mempastikan semua kakitangan kerajaan di Jabi terutamanya guru-guru kekal menjadi penyokong setia parti kita. Mana-mana yang menyokong pembangkang, saya telah tukarkan mereka sejauh yang mungkin sehingga ke pulau  dan ke Jerangau. Saya sendiri telah memberikan amaran keras termasuk kepada isteri-isteri mereka bahawa selagi saya berkuasa di sini, kamu diharamkan dari memijak bumi Jabi. Bukankah ini ketegasan yang diinginkan Dato’ Seri?

Rakyat Jabi juga menyanjungi ketinggian budi Isteri YAB Perdana Menteri yang terkenal sebagai isteri pemimpin yang berjiwa rakyat. Rakyat Jabi tak pernah iri hati dengan apa yang Datin Seri miliki dari intan berlian, emas permata kerana sememangnya Datin Seri layak untuk semua itu.  Apatah lagi Datin Seri adalah First Lady yang perlu bertemu dengan isteri pemimpin-pemimpin dunia lain. Tentunya imej negara di mata dunia perlu dijaga. Kami di kampung pula bukannya perlukan semua barang-barang perhiasan mewah sebegitu. Cukup bila rezeki yang ada dapat mengisi perut seadanya serta anak-anak kami mampu ke sekolah.

Sambil-sambil menjamu selera, harap YB Jabi tolonglah bisikkan kepadanya kisah 9 beradik anak yatim piatu di kampung Jebak Puyoh, sangat-sangat hampir dengan lokasi jamuan. Mana tahu Yang Amat Berbahagia Datin Seri yang terkenal dengan keprihatinannya kepada anak-anak melalui program Permatanya ingin menyumbang sesuatu yang boleh menjamin kelangsungan hidup dan masa depan anak-anak ini. Tambahan pula, YB Jabi sendiri lantaran perbezaan fahaman politik, merasa keberatan bagi menjalankan kewajipan selayaknya sebagai seorang pemimpin yang bergelar wakil rakyat untuk mengambil cakna hal rakyat sendiri.

Ketika negara kita masih dalam mood menyambut hari kemerdekaan, biasanya Filem Bukit Kepong arahan Jins Shamsuddin menjadi tayangan wajib yang diulang tayang berkali-kali. Mungkin Datin Seri boleh membandingkan suasana jalan menuju ke Kampung Jebak Puyuh, tempat anak yatim piatu 9 beradik tadi dengan apa yang cuba dipaparkan oleh Jins Shamsuddin dalam filem tersebut, suasana negara ketika era tahun 50 an. Jangan terkejut apa-apa, Datin Seri tak dibawa ke suatu tempat asing, lokasinya masih di Dun Jabi. Datin Seri juga boleh menyaksikan sendiri sebuah rumah tanpa bilik yang dihuni 9 beradik tanpa ibu dan ayah. Harap Datin Seri tak jijik melihatnya walaupun bukan selayaknya untuk semua ini diperlihatkan kepada seorang ‘First Lady’ yang biasa menginap di hotel dengan kos RM100 ribu semalaman.

Kami rakyat Jabi juga sudah boleh menjangkakan bagaimana akan bergegar Padang Bola Kampung Tempinis dengan teriakan dan gema suara Dato’ Seri menyenaraikan satu demi satu kepada rakyat akan kehebatan kerajaan pimpinan Dato’ Seri dalam menunaikan janji-janji demi kesejahteraan rakyat. Kontra sebaliknya, bagaimana hapraknya pembangkang yang hanya tahu berjanji tapi tak tahu bagaimana nak menunaikan. Rakyat Jabi akan bertepuk sorak menyokong Dato’ Seri. Lalu pulanglah Dato’ Seri dengan penuh rasa bangga dan berkeyakinan. Rakyat bersama kita! Masa yang sesuai untuk Parlimen dibubar!

Cuma maafkan kami Dato’ Seri. Tepuk, tepuk juga. Bersorak pun bersorak juga. Juadah yang dihidangkan, akan kami licinkan. Dato’ Seri jangan bimbang dengan semua ini. Tapi sebenarnya kami di Jabi ni orang kampung, sekolahnya ala kadar sahaja, agak bodoh untuk memahami segala retorik yang bakal Dato’ Seri laung-laungkan, entah macam-macam istilah transformasi! semangat perjuangan! marilah kita kukuhkan barisan! berjuang sehabisnya! serta pelbagai lagi istilah yang biasa Dato’ Seri ulang siar dari Perlis hingga ke Sabah. Orang sorak, kami pun sorak, orang ketawa, kami pun ketawa, orang tersengih, kami pun tersengih! Dato’ Seri balik, kami pun masuk sawah kebun macam biasa. Kecuali mungkin segelintir JKKK yang dapat tender bekalkan makanan, untungnya boleh dimakan untuk sebulan dua. Pesan kami, kalau hayat Dato’ Seri di Putrajaya masih panjang, silakan datang menjenguk kami semula.

***Dr Azman Ibrahim adalah Pengerusi Majlis Tindakan DUN Jabi merangkap Naib Yang DiPertua PAS Setiu. Belia juga adalah anggota Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.