Sejarah Pemalsuan Dan Penistaan Al-Quran

353

Oleh : Dr. Riduan Mohamad Nor

Al-Quran merupakan mukjizat paling ampuh yang diberikan kepada junjungan Rasul SAW, yang mampu menundukkan bangsa Arab yang bersalut dengan keberhalaan pemikiran dan tingkah laku. Al-Quran adalah mukjizat paling agung sebagaimana maksud firman Allah:

Dan orang-orang kafir Mekah berkata, “Mengapa tidak diturunkan kepadanya mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?” Katakanlah: “sesungguhnya mukjizat-mukjizat itu terserah kepada Allah. Dan Sesungguhnya aku hanya seorang pemberi ingatan yang nyata. Dan apakah tidak cukup bagi pemberi ingatan yang nyata. Dan apakah tidak cukup bagi mereka bahawasanya kami telah menurunkan kepadamu al-Kitab (Al-Quran), sedang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya dalam (Al-Quran itu terdapat rahmat yang besar dan pelajaran bagi orang-orang yang beriman”. (al-Angkabut: 50-51)

Al-Quran merupakan pakej yang lengkap, memerihalkan sejarah ambia’, menceritakan aspek perundangan , al-Jihad, muamalat, sains, hidup bernegara dan seluruh dimensi kehidupan yang bertautan. Menyedari potensi al-Quran yang hebat inilah maka pihak musuh Islam yang sentiasa mencemburui dan mencari jalan untuk menimbulkan keraguan , contohnya mutakhir ini puak Islam liberal yang bersikap sinis terhadap Al-Quran, jika sebelum ini mereka menyerang hadis Nabi SAW maka kini Al-Quran turut dipertikaikan oleh mereka dengan berhujjah bahawa ini adalah semata-mata perbincangan intelektual.
Gerakan untuk memperlekehkan al-Quran, menimbulkan keraguan terhadapNya sentiasa berlegar di sepanjang pentas sejarah . Contohnya, aliran fahaman komunisme yang meletakkan agama sebagai candu sehingga Stalin seorang pemuka fahaman ini pernah mengatakan Al-Quran hanya layak dibuat kertas tandas. Pengkagum Sains konvensional pula yang sentiasa mewajarkan sesuatu berdasarkan pembuktian secara imperikal juga sentiasa bersifat sinis terhadap Islam. sedangkan Islam dan Al-Quran sebagai petunjuk mendahului ratusan tahun kajian-kajian Sains mereka.

Golongan Orientalis atau mereka yang dikenali sebagai gerakan pengkaji Barat terhadap hal ehwal ketimuran khususnya Timur Tengah yang menjadi pusat kelahiran awal Islam. Mereka mengkaji masyarakat Islam Timur tengah dari pelbagai aspek untuk tujuan dan matlamat yang berbagai. Mereka juga mempunai metodologi tersendiri dalam membuat kajian dan kebanakannya didalangi oleh golongan Kristian yang cuba menyesatkan umat Islam dengan menimbulkan pelbagai kekeliruan dan tuduhan jahat terhadap Islam dan umat Islam.

Antara tuduhan jahat mereka adalah mencetuskan kepercayaan Basyariyyatu Al-Quran (Al Quran adalah ciptaan manusia), ia bukannya Kalam Allah. Mereka mendakwa Al Quran adalah rekaan Nabi Muhammad SAW bukannya wahu yang diturunkan oleh Allah SWT. Para Orientalis juga berbeza-beza pendapat dalam menentukan hujah dakwaan mereka. Di kalangan mereka ada yang berpendapat bahawa AL-Quran telah dipengaruhi oleh situasi geografi, kehidupan beragama dan kebudayaan masyarakat. Arab setempat sebagaimana kata seorang Orientalis, Gibs,”suasana Mekah yang dikuasai penguasa ekonomi dan politik, kemudian dicemari dengan gejala sosial seperti perhambaan dan perpecahan di pelbagai peringkat merupakan faktor ang menjadikan diri Nabi Muhammad seorang yang berpengaruh”. Maka, Al-Quran hanyalah wahyu yang sesuai untuk kehidupan masyarakat padang pasir dan persekitarannya. Oleh itu, ia tidak sesuai untuk situasi masyarakat lain. Ini juga bermakna, dakwah Nabi SAW tidak bersifat universal.

Sebahagian mereka pula berpendapat bahawa Al- Quran adalah bersumberkan golongan Hunafa’ (mereka yang mewarisi kepercayaan nabi-nabi terdahulu). Mereka menyangka Al-Quran adalah bersumberkan kitab-kitab Samawi terdahulu seperti Taurat dan Injil berdasarkan persamaan kandungan yang wujud pada hukum-hakam dan adab yang berkaitan. Seorang Orientalis, Brokeman menyatakan pada awal bukunya ‘Sejarah Etnik Islam’ bahawa rukun Islam ialah idea yang diceduk daripada Taurat dan Injil serta peradaban dan kepercayaan umat terdahulu. Dia juga menganggap Al-Quran bukan wahyu Allah tetapi susunan dari pelbagai agama dan selainnya. Sebahagian lain pula menyebut bahawa syariat Islam adalah warisan perundangan empayar Rom Timur yang dipinda bagi menepati citarasa dan situasi politik Negara Arab.

Seorang Orientalis dari Russia pula, Agnatius Kratsykoysky menulis dalam bukuna Sejarah Geografi Sastera Arab, “ Bahawa Al-Quran ialah ilmu pengetahuan yang diperolehi oleh Muhammad SAW melalui pendengaran dari seseorang”.

Goston Luborn, menyebut bahawa hukum-hakam Al-Quran pada tanggapan beliau adalah tidak benar kerana melahirkan pertelingkahan di kalangan orang Islam dengan pelbagai golongan dan mazhab yang menurut hawa nafsu dan kepentingan peribadi mereka. Gold Ziher pula menuduh para Fuqaha Islam menggunakan dalil-dalil Al-Quran dan mencipta pelbagai kaedah fiqah bagi membantu mazhab mereka bukannya di atas dasar keilmuan dan pengetahuan fiqah.

Para ulama Islam telah menjawab segala tomahan mereka itu dari pelbagai sudut dan bahasan ilmu. Tentang dakwaan mereka Basyariyyatul Quran, ulama menegaskan bahawa Al-Quran sebenarnya wahyu Allah, bukan ciptaan Nabi SAW. Dalilnya ialah, Nabi SAW sebelum dibangkitkan menjadi Rasul terkenal seorang yang Ummi (tidak tahu membaca dan menulis), bagaimana mungkin baginda mampu mencipta sesuatu yang begitu Agung sehingga diakui oleh pengkaji Barat sendiri bahawa kandungan Al-Quran adalah sistem kehidupan yang sempurna dan bertamadun.

Dalam surah As-Sajadah ayat 1 dan 2 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Aliff Laam Mim, diturunkan Al-Kitab (Al-Quran) tiada keraguan padanya daripada Tuhan sekalian alam”. Dalam surah Ghafir pula Allah berfirman yang bermaksud: “Haa Mim, diturunkankan Al-Kitab (Al-Quran) daripada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui”.
Dakwaan mereka yang mengatakan Al-Quran dipengaruhi situasi masyarakat Arab juga terpesong kerana Al-Quran secara jelas membawa perubahan besar kepada masyarakat Arab yang sebelumnya berada dalam gelap jahiliyyah dan keruntuhan moral yang parah. Bahkan Al-Quran membawa mesej sejagat kepada seluruh umat sehingga Islam mampu berkuasa dan diterima oleh penduduk satu pertiga dunia di zaman khalifah Umar al-Khattab dan sekarang Islam telah berkembang ke seluruh dunia.

Dakwaan mereka yang menyebut bahawa Al-Quran adalah bersumberkan golongan Hunafa’ juga adalah tidak benar kerana golongan Hunafa’ menerima ajaran dan syariat yang ditinggalkan oleh Nabi-nabi terdahulu yang kebanyakannya telah diseleweng dan dicampur-aduk dengan pelbagai rekaan, sementara syariat Islam telah membatalkan segala syariat yang terdahulu dan membawa syariat yang sesuai dan sempurna untuk seluruh umat manusia.

Mereka cuba menguatkan dakwaan mereka dengan mengatakan bahawa Nabi SAW pernah berguru dengan seorang rahib sewaktu bermusafir ke Syam bersama bapa saudaranya Abu Talib atas urusan perniagaan. Sekali, lagi dakwaan ini adalah tidak logik dan masuk akal kerana tidak mungkin seorang yang bersifat Ummi mampu menguasai ilmu dan pengetahuan yang hebat ini dalam tempoh terlalu singkat. Tambahan, usia Nabi SAW pada masa itu masih muda, Baginda tidak menjadi Rasul sejurus dari permusafirannya itu sehingga mencapai umur 40 tahun dan Baginda masih dalam keadaan Ummi. Kalau pun benar Nabi SAW menerima ilmu daripada rahib tersebut, pastinya rahib tersebut lebih layak menjadi Nabi dan Rasul dan lebih bijaksana daripada baginda. Tetapi sejarah tidak pernah mencatatkan wujudnya kehebatan seorang rahib seumpama itu. Jelas, ia adalah satu pembohongan yang nyata.

Meskipun dalam Al-Quaran terdapat beberapa persamaan syariat nabi-nabi terdahulu, ia tidak bermakna disalin dan dipinda dari syariat agama-agama terdahulu. Mereka yang menuduh jelas tidak memahami bahawa persamaan itu kerana aqidah yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu merupakan aqidah yang satu dari Allah SWT. Adapun mereka yang kononnya berpegang dengan ajaran Injil, Taurat dan sebagainya adalah pendusta-pendusta yang menyelewengkan ajaran tersebut. Bukti penyelewengan itu lahirnya berbagai Injil (Bible) dalam pelbagai versi terjemahan yang bercanggahan antara satu sama lain. Begitu, juga yang berlaku pada kitab Samawi yang lain.

Tuduhan yang mengatakan Al-Quran mengandungi ayat-ayat yang membawa pertelingkahan hukum di kalangan Fuqaha’ juga adalah tidak benar kerana perbezaan mazhab yang lahir adalah berdasarkan hujjah dan sebab-sebab cara pengambilan hukum yang meskipun berbeza tetapi mempunyai sandaran yang kuat terhadap Al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Perbezaan yang ditimbulkan pula di kalangan mazhab hanyalah pada masalah furu’ atau perkara cabang kepada permasalahan hukuffi, bukannya berbeza pada sumber rujukan bahkan kesemua mazhab sepakat terhadap kesahihan Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW sebagai rujukan muktamad. Perbezaan ini bukannya suatu pertelingkahan tetapi suatu kemudahan yang meraikan kemaslahatan hidup manusia di bawah naungan keredhaan Allah SWT.

Pandangan yang mengatakan Al-Quran adalah warisan perundangan Rom Timur pula adalah silap kerana prinsip-prinsip dan dasar yang dikemukakan oleh Islam jauh lebih baik dan jelas berbeza dengan apa yang digelar Tamadun Rom itu. Dasar kepercayaan dan pemerintahan Rom yang zalim, sistem kekeluargaan yang pincang, penindasan ekonomi dan amalan perbezaan kasta masyarakat adalah suatu yang jelas bertentangan dengan Islam. Meskipun terdapat beberapa peraturan yang hampir sama dengan syariat Islam, itu hanyalah saki baki ajaran nabi-nabi terdahulu yang diambil oleh mereka.

Hakikatnya mereka tidak menerima bulat-bulat apa yang dibawa oleh para nabi terdahulu tetatapi meminda-minda ajaran itu bagi kepentingan diri sendiri. Allah SWT menempelak kata-kata dusta mereka sebagaimana FirmanNya:

“Dan sesungguhnya Kami mengetahui bahawa mereka berkata: “Seungguhnya Al-Quran untuk diajarkan oleh seorang manusia kepadanya (Muhammad)”. Padahal bahasa orang yang mereka tuduhkan (bahwa) Muhammad belajar kepadanya bahasa Ajam, sedang Al-Quran adalah dalam bahasa Araba yang terang”.
(an-Nahl : 103)

Sepanjang zaman dan denai sejarah.akan terus berlaku usaha terancang untuk menista al Quran. Pasca kewafatan ar Rasul, sosok seperti Musailamah al Kazzab sehinggalah era android ini. Akhir-akhir ini, umat Islam seluruh dunia dikejutkan dengan sebuah buku yang mencabar kitab Al-Quran. Tajuk buku tersebut juga diambil dari salah satu sifat Al-Quran iaitu Furqan Al-Haq (pembeza antara kebenaran dan kebatilan). Pengarang TheTrue Furqan yang menggunakan nama Al-Shaffee dan Al-Mahdy tidak menyatakan bahawa buku tersebut adalah sebagai tandingan Al-Quran namun penulis secara jelas menyeru kepada bangsa-bangsa Arab khususnya dan umat Islam umumnya di seluruh dunia dengan kata-kata “salam sejahtera dan Rahmat Allah Yang Berkuasa atas segala sesuatu”.
Akan tetapi bila merujuk kepada kata pengantar yang tertulis di Amazon.com, didapati pengarang dengan terus terang menyatakan buku tersebut adalah The most plausible challenge to the Arabic Quran in history (tentangan yang paling nyata terhadap Al-Quran berbahasa Arab di dalam sejarah) yang membuktikan bahawa buku tersebut adalah tentangan dan penyelewengan yang nyata terhadap wahyu Allah SWT.

The True Furqan ditujukan kepada umat Islam dan juga golongan Kristian namun untuk tujuan berbeza. Kandungan buku tersebut jelas menunjukkan bahawa pengarangnya telah merencanakan matlamat agar orang-orang Kristian bertambah yakin dengan kebenaran kitab injil mereka, sekaligus mempertikaikan kesahihan Al-Quran. Al-Mahdy mengharapkan daripada karangan tersebut memberi kesan yang positif terhadap umat Islam agar mereka mula tertarik dengan ajaran Kristian dalam masa yang sama akan hilang keyakinan terhadap Al-Quran. Hal ini cukup jelas sebagaimana dipetik dari kata-kata Al-Mahdy dalam press release yang dikeluarkan oleh Baptist Press bertarikh 27 Mei 1999, ketika awal penerbitan buku yang diusahakan selama tujuh tahun lamanya. Al-Mahdy dengan penuh yakin menyatakan “Hendaknya golongan Kristian di seluruh pelosok dunia mempersiapkan diri untuk menyambut kehadiran umat Islam yang akan murtad”.

(Penulis adalah Pengerusi LESTARI, AJK PAS Pusat)