Sejarah Kemunculan Mazhab Akidah

764

Bagi pengkaji ilmu akidah, pengajian mereka dianggap sempurna apabila mengenali pecahan-pecahan ideologi yang lahir dalam masyarakat Islam. Dalamnya berlaku perbincangan-perbincangan hangat dan menyentuh perkara yang berkaitan dengan akidah. Faktor ini disebabkan gangguan dari dalam dan luar yang menggugat iman yang sebenar. Gangguan yang lahir ini disebut dalam hadis Nabi Muhammad.

Daripada Auf bin Malik melaporkan, Nabi Muhammad berkata,
“Orang-orang Yahudi berpecah kepada 71 kumpulan. Satu kumpulan masuk syurga dan 70 kumpulan ke neraka. Orang Nasrani berpecah kepada 72 kumpulan. 71 kumpulan ke neraka, satu kumpulan ke syurga. Sesungguhnya umatku berpecah kepada 73 kumpulan. Satu puak ke syurga dan 72 kumpulan ke neraka.” Lalu ditanya, “Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu?” Nabi Muhammad berkata, “Mereka adalah yang berada dalam jemaah.”
(Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah)

Daripada Abdullah bin Mas’ud melaporkan,
Nabi Muhammad menggariskan satu garisan dengan kayu yang dipegangnya. Kemudian beliau berkata, “Inilah jalan Allah dan jalan yang betul. Beliau membuat garisan lagi di sebelah kanan dan kirinya. Kemudian beliau berkata, “Jalan-jalan ini tidak ada satu pun daripadanya melainkan ada syaitan yang mengajak ke arahnya.” Kemudian Nabi Muhammad membaca ayat Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya inilah jalanku, jalan yang betul maka ikutlah ia. Jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti kamu bercerai berai dari jalannya.”
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal)

Kini, amaran Nabi Muhammad itu benar-benar berlaku. Apabila umat Islam memandang ringan pada ajaran Islam, mereka tidak bersungguh-sungguh berpegang dan menyelesaikan masalah melalui cara Islam. Akhirnya, mereka mudah terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang direka kerana kejahilan dari dalam. Begitu juga gangguan daripada niat-niat jahat musuh yang berpura-pura mengaku Islam. Mereka juga mencampurkan ajaran Islam dengan ajaran-ajaran yang diambil dari luar. Semua fahaman ini mempunyai pengikut. Mereka sanggup mempertahankan pegangan mereka dengan bersungguh-sungguh malah sanggup mengorbankan apa sahaja.

Punca-Punca Dalaman

Selepas Nabi Muhammad meninggal dunia, para sahabat berselisih pendapat mengenai perlantikan khalifah atau ketua negara Islam. Para sahabat mempunyai tiga pendapat iaitu:

Pendapat pertama
Mereka berpendapat khalifah itu dipilih dan dipersetujui oleh rakyat tanpa mengira sama ada kabilah itu berpengaruh ataupun tidak. Pendapat ini dikemukakan oleh majoriti kaum Ansar. Mereka mencadangkan pemimpin kaum Khazraj, Saad bin Ubadah dilantik sebagai pemimpin umat Islam. Mereka berhujah dengan kelebihan Ansar sebagai pengikut, sahabat dan pembantu setia Nabi Muhammad. Terdapat beberapa hadis Nabi yang menyanjung mereka. Dengan hadis-hadis itu mereka berhujah,

“Dengar dan taatlah, walaupun yang menjadi ketua kamu itu seorang hamba Habsyi.”

Pendapat kedua
Mereka yang berpendapat pemimpin itu dipilih daripda keluarga Nabi Muhammad. Pendapat ini dikemukakan oleh beberapa orang di kalangan masyarakat keturunan Bani Hasyim, keluarga Nabi Muhammad dan masyarakat yang sependapat dengan mereka. Mereka berhujah kedudukan keluarga Nabi yang lebih dekat dengan beliau. Mereka mencadangkan Ali bin Abu Talib sebagai pemimpin. Hujah mereka berdasarkan hadis Nabi Muhammad yang berkata kepada Ali,

“Adakah kamu tidak redha dengan kedudukan kamu di sisiku sama seperti kedudukan Harun dan Musa hanya kerana tidak ada nabi lagi selepasku.”

Pendapat ketiga
Mereka yang berpendapat khalifah itu dipilih oleh umat Islam dan mesti daripada kalangan kaum Quraisy. Mereka menganggap Quraisy adalah kabilah yang paling berpengaruh. Mereka berhujah hadis Nabi Muhammad,

“Imam-imam (pemimpin-pemimpi) itu mestilah daripada kalangan Quraisy.”

Akhirnya pendapat ketiga disokong oleh majoriti umat Islam. Semua umat Islam termasuk penyokong Ansar, ahli keluarga Nabi Muhammad melantik Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah. Abu Bakar tidak meminta jawatan yang besar ini. Oleh kerana beliau paling layak dan menepati kriteria yang ditetapkan, rakyat memilih beliau bagi menerima tanggungjawab ini. Para sahabat juga tidak dipaksa bagi melantik Abu Bakar. Mereka menyedari amanah pemimpin adalah besar. Berdasarkan hujah yang dikemukakan oleh golongan Muhajirin, mereka melantik Abu Bakar.

Namun, perselisihan pendapat serta hujah-hujahnya dicemari oleh anasir kotor pada zaman selepasnya. Kemunculan Khawarij berhujah supaya memilih ketua secara bebas tanpa mengira pengaruh kabilah yang kuat. Aliran Syiah menetapkan Ali bin Abu Talib dan keturunannya sahaja yang layaknya menjadi khalifah. Golongan Murji’ah sebulat suara berpendapat, kononnya menyerahkan urusan kepada Allah. Akhirnya pertelingkahan dalam politik melarat sehingga melibatkan perkara-perkara akidah kerana ingin meraih kemenangan. Keghairahan ini membuka ruang kepada anasir-anasir luar bagi merosakkan Islam.

Sejarah Kemunculan Mazhab Akidah
Kuliyah Jumaat 11 Ogos dan 8 September 2006
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
http://mazhab.sementoji.net