Sebenarnya PH Yang ‘Main Wayang…..’

549

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN – Kerajaan Pakatan Harapan yang sebenarnya ‘bermain wayang’ apabila menyerahkan Jalur Gemilang hanya kepada Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tambahan, sekaligus menafikan fungsi Pengerusi MPKK yang dilantik.

Ketua Muslimat PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Zakiah Alias berkata tindakan membelakangkan organisasi itu telah menimbulkan perasaan tidak hati kepada 23 pengerusi MPKK DUN Bukit Besi.

“Kita merasa satu keaiban telah berlaku kepada kita sebagai pengerusi MPKK lantikan Kerajaan Negeri Terengganu (PAS).

“Kita dijemput ke majlis penyerahan jalur gemilang yang menerimanya adalah AJK MPKK tambahan, sedangkan kita pengerusi.

“Didalam majlis yang dianjurkan KETENGAH ini, pihak mereka harus menerangkan perkara sebenar telah berlaku, dan terasa kita telah diabaikan, diperendahkan serta diperkecilkan,” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi MPKK Taman Indah, Al-Muktafi Billah Shah AMBS.

Dato’ Zul (baju batik hitam putih) hanya menyerhkan bendera kepada anggota PH, AJK Tambahan MPKK, mengkesampingkan Pengerusi

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai satu kenyataan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) Dato’ Zulkifli Mohamad yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Terengganu, memalitkan kesalahan kepada MPKK.

Menurut Zakiah, pihak MPKK DUN berkenaan tidak teragak-agak untuk bergabung dan sepakat bagi memboikot setiap program KETENGAH jika berterusan pada masa akan datang.

“Kalau beginilah yang dibuat kepada kita seolah peranan kita sebagai pengerusi dinafikan oleh PH melalui KETENGAH, maka kita bertegas sesekali tidak akan jadi boneka kepada KETENGAH,” tegasnya.

Sehubungan itu Pengarah Majlis Tindakan DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata, perkara itu bukan kali pertama pengabaian sebegitu berlaku.

“Kali pertama berlaku ketika lantikan MPKK tambahan, tiada pun dijemput MPKK dari kerajaan negeri.

“Seolah-olah ada strategi tersembunyi yang dilakukan PH. Dibimbangi pengerusi MPKK akan diabaikan,” jelasnya.

Ghazali juga turut hairan dengan maklumat yang didapati, apabila AJK MPKK tambahan diberi cop sendiri, dikhuatiri akan menafikan peranan pengerusi MPKK di bawah kerajaan PAS, sebaliknya yang berfungsi ialah MPKK lantikan PH.

“Setakat ini yang saya tahu ianya berlaku untuk DUN Bukit Besi, DUN yang lain saya tiada maklumat.

“Harapan saya supaya tidak berlaku di DUN yang lain, saya harap agar perkara ini diberi perhatian serius di peringkat tertinggi, jangan sampai pengerusi MPKK kita (PAS) kehilangan fungsi,” tegasnya.