“Saya Ingatkan Kapal Terbang Jatuh……”

208

Oleh : Syazwana M.Zohir
Foto : Atika Hussin

BESUT – Seorang mangsa ribut di Hulu Besut menyangkakan dentuman kuat yang didengarinya berpunca daripada kapal terbang terhempas tetapi rupa-rupanya ia bunyi pokok yang tumbang dibadai ribut.

Kejadian angin kencang yang melanda empat buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut pada Hari Khamis yang lalu telah menyebabkan lebih kurang 30 buah rumah rosak teruk.

Ketua Dewan Muslimat Parti Islam se-Malaysia Kawasan Besut (DMPKB), Napisah Ismail berkata kampung yang terlibat dalam musibah tersebut ialah Kampung Darau, Lepang Kejor, Padang Baloh dan Kampung Awek.

“Hari ini (semalam) DMPKB bersama-sama Unit Hal Ehwal Wanita (HALWA) DUN Hulu Besut mengambil peluang untuk menziarahi sepuluh buah rumah yang paling teruk terjejas semasa ribut tersebut.

“Bantuan disampaikan dalam bentuk wang tunai di samping barangan keperluan dapur bagi setiap rumah,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah oleh wartawan Buletin Online di sini, semalam.

Napisah turut menasihati mangsa yang terlibat supaya bersabar dengan ujian yang diturunkan oleh Allah SWT melalui musibah ribut.

“Saya berharap agar mereka sentiasa rasa bersyukur walaupun dalam keadaan ditimpa kesusahan kerana kejadian ini tidak mengorbankan sebarang nyawa.

“Mereka juga perlu bersyukur kerana telah banyak agensi yang telah turun menghulurkan bantuan termasuklah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM), badan-badan bukan kerajaan selain daripada DMPKB,”tambahnya.

Terdahulu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) dengan sinergi bersama pihak polis, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan penduduk setempat telah bergotong-royong membersihkan pokok-pokok yang tumbang sehingga melintangi jalan raya sejurus ribut berakhir.