Sasar Zon Bebas Maksiat

310

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – Skuad ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’ DUN Rhu Rendang ditubuhkan bertujuan mensasarkan zon bebas maksiat khususnya di pesisir pantai.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang, Yusuf Abdul Hadi berkata, orang ramai yang berkunjung ke kawasan peranginan itu, kini tidak perlu bimbang dengan ‘senario kuning’.

“Kami di peringkat pemuda memandang serius gejala yang tidak sihat yang melibatkan anak muda apatah lagi di tempat awam terutama di kawasan pantai.

“Buat permulaan, Skuad ini dianggotai seramai 15 orang bertanggungjawab memantau perilaku yang tidak sepatutnya di sepanjang pantai-pantai Marang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas turut serta dalam program tersebut pada semalam, 26 Ogos.

Menurutnya, sasaran operasi kali ini adalah bertumpu di Pantai Pulau Kekabu dan Pantai Kelulut untuk operasi pencegahan.

Beliau berkata, usaha tersebut selaras dengan tuntutan Islam yang dinyatakan dalam Al -Quran.

“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada kemungkaran, serta beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; antaranya ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang fasik.” ujarnya mengungkap ayat 110 dari surah Ali-Imran.

Tambah Yusof, kemungkaran adalah perkara yang mampu diputuskan oleh akal manusia tentang keburukan dan melihat perbuatan itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Kalau umat Islam tidak memainkan peranan (amar makruf nahi mungkar) maka keimanannya boleh dipersoalkan,” tegasnya.