Saranan Untuk Mengelakkan Penceraian Berlaku

377

Oleh :RR

KUALA TERENGGANU – Statistik perceraian dalam sebuah perkahwinan di negeri Terengganu berjumlah 22, 907 kes diantara 2014 hingga awal tahun 2019.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Hajah Zuraida Md Noor berkata, ianya merupakan satu jumlah yang agak besar dan memang tidak dapat dinafikan bertitik tolak daripada masalah pasangan.

Katanya, akan berlakunya tuntutan oleh pihak-pihak di Mahkamah Syariah antaranya termasuklah tuntutan nafkah anak, nafkah Isteri, nafkah Iddah dan Muttah oleh isteri dan bekas isteri.

“Saranan saya (untuk mengelakkan penceraian) ialah menitikberatkan pendidikan kekeluargaan kepada bakal pengantin dan juga pasangan muda yang baru berkahwin agar sentiasa mempunyai persiapan ilmu menghadapi masalah dan ujian berumah tangga.

“Faham secara mendalam tujuan perkahwinan adalah untuk menyempurnakan tuntutan ‘maqasid syariah’ iaitu menyambung keturunan yang baik,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengarah Ameerah Negeri Terengganu berkata demikian ketika ditemui selepas program Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Siri 1 tahun 2019 dan Majlis Berbuka Puasa Dengan Anak-Anak Yatim di The Regency Waterfront Hotel, Kuala Terengganu pada Selasa 21 Mei.

Menurutnya, suami dan isteri hendaklah memahami tanggungjawab masing-masing agar tidak berlaku pengabaian hak.

“Namun tidak dinafikan terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada trend perceraian ini.

“Antara lain, pergaulan bebas di tempat kerja, pendedahan pornografi, gagal mengawal tekanan di tempat kerja, bebanan kos sara hidup,” ujarnya.

Oleh itu, kata Zuraida, beliau tidak dapat sebutkan angka-angka secara ‘fact and figure’ namun secara tidak langsung semua sudah maklum akan perkara tersebut.

Justeru itu, beliau yakin dan percaya pihak berwajib telah menjalankan tugas dengan baik dalam memberi pendedahan yang sewajarnya kepada golongan yang bakal mendirikan rumah tangga.