Sany yakin Tan Sri Khalid mampu merubah bolasepak Selangor

335

Walaupun mengucapkan terima kasih di atas kenyataan balas Menteri Besar, namun Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) berasa agak terkilan kerana Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mengambil kira hujahan yang dikemukakan.

Mohd Sany Hamzan berkata pihaknya mengemukakan permasalahan pasukan bola sepak Selangor itu atas kesedaran bahawa, bolasepak adalah sukan teras yang menjadi kegemaran majoriti rakyat, khususnya bagi negeri Selangor.

Sebaliknya, Tan Sri Khalid memberi kata dua kepada pemuda PAS, samada mahu memilih bolasepak atau masjid.

“Mungkin YAB Tan Sri telah terlalu lama dikelilingi oleh ‘roh simpanan tetap yang berbilion-bilion’ sehingga menghilangkan perasaan terhadap ‘roh sukan’ yang dijiwai oleh rakyat.

“Pemuda PAS Negeri Selangor menyifatkan cabaran (Tan Sri Khalid) yang meminta supaya memilih samada untuk menggalakkan bolasepak atau membina masjid sebagai tidak adil kerana kedua-duanya adalah daripada perkara yang berbeza,”tegas Sany yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor.

Beliau bersetuju dengan Tan Sri Khalid, sesungguhnya masjid memang diperlukan untuk perkembangan agama dan kerohanian rakyat.

Tetapi kata Sany, sukan bolasepak juga adalah salah satu acara yang boleh membina kesihatan fizikal dan sebagai alat perpaduan rakyat Selangor terutamanya kalangan generasi muda.

Oleh itu, pihaknya amat berharap semoga kerajaan negeri Selangor dapat membuat pertimbangan yang wajar terhadap isu yang telah ditimbulkan sebagai kesinambungan pemerkasaan agenda sukan bolasepak negeri Selangor.

Sany turut mencadangkan agar Khalid selaku Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) membuat perubahan supaya ia lebih maju di masa depan.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut menaruh harapan agar YAB Tan Sri selaku Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Selangor (FAS) dapat merombak semula kepimpinan FAS sediada dan menggantikan dengan muka-muka baru yang lebih progresif dan efisien,

“untuk menyelamatkan maruah pasukan ‘The Red Giants’,”katanya

Selain itu, pemuda PAS juga berharap pihak pengurusan FAS dapat menarik penaja-penaja yang baru yang boleh membantu untuk mengembalikan kegemilangan skuad bolasepak negeri Selangor.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor tetap berkeyakinan YAB Tan Sri akan dapat menyelesaikan isu ini dengan baik kerana beliau mempunyai rekod cemerlang di dalam memimpin kerajaan negeri Selangor sehingga dapat menambahkan rizab simpanan negeri Selangor sebanyak RM 3 Bilion, walaupun kerajaan persekutuan sering menganaktirikan kerajaan Selangor.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat mengharapkan sebagaimana YAB Tan Sri bijak memerintah Selangor begitulah kebijakan yang diharapkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor terhadap beliau di dalam memimpin FAS dan skuad bolasepak negeri Selangor,”kata Sany.