Sambutan Tahun Baharu Cina Masyarakat Hainan Meriah

472

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Program sambutan Tahun Baharu Cina masyarakat Hainan disambut dengan meriah dengan kehadiran tetamu istimewa wakil rakyat PAS, mewarnai suasana gembira.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, sambutan ‘Gong Xi Fa Cai’ merupakan sumbangan besar masyarakat Tionghoa terutama dalam sektor pelancongan dan ekonomi di Terengganu.

“Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sangat mengharapkan agar masyarakat Tionghoa di negeri ini sentiasa menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan program pembangunan untuk kesejahteraan seluruh rakyat Terengganu.

“Kerajaan PAS Terengganu tidak pernah meminggirkan masyarakat bukan Islam dalam pembangunan negeri ini.,” ujarnya di hadapan hampir 150 orang hadirin.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan PAS DUN Kemasik berkata demikian pada Sabtu, di Kampung Air Jernih, Kemasik, di sini.

Oleh itu, jelas beliau, kerajaan sentiasa memberi peluang dan ruang kepada semua kaum untuk bersama-sama terlibat dalam memimpin dan membangunkan negeri selaras hasrat menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang 2030.

Sehubungan itu, Setiausaha Persatuan Hainan Kemasik, Cikgu Wang Kwee Fong, 50, yang ditemui pada majlis tersebut berkata, penduduk kampung tersebut merupakan ‘lapis ketiga dan empat’ perkampungan itu.

Menurutnya, kelompok tersebut mula menduduki kawasan yang terletak tujuh kilometer dari Pekan Kemasik itu, sejak lebih 110 tahun lalu.

“Kebanyakan penduduk di kampung ini adalah generasi ketiga dan keempat dari Kepulauan Hainan, sebuah wilayah yang terletak di Selatan China setelah nenek moyang mereka datang belayar mencari penempatan baharu di Terengganu.

“Jumlah kami tidak ramai, hanya kira-kira 300 orang, walaupun hidup dikelilingi masyarakat Melayu, namun budaya dan tradisi kaum Cina Hainan tetap dikekalkan sehingga kini.

“Kami fasih berbahasa Melayu dalam dialek Terengganu, ” kata beliau yang masih bertugas sebagai seorang guru tadika di kampung tersebut.

Pengerusi Persatuan Hainan Kemasik, Po Say Wan, 88, pula memberitahu, ayahnya berusia 16 tahun sewaktu berhijrah ke negeri ini.

Kata beliau, kegiatan ekonomi utama keluarganya ketika itu ialah melalui tanaman getah kemudian kelapa sawit.

“Tak lama selepas itu, ayah pulang ke Hainan untuk berkahwin dengan emak saya di sana dan kembali semula untuk menetap di Air Jernih. Memang kawasan ini meriah pada waktu itu dengan kepadatan penduduk Hainan hampir 6,000 orang.

“Seiring perubahan masa, orang Cina Hainan telah banyak berhijrah keluar Terengganu untuk mencari pekerjaan dan membina kehidupan yang lebih baik antaranya ke Klang, Selangor, Tangkak di Johor dan Port Dickson di Negeri Sembilan,” tegasnya yang masih mempunyai daya ingatan yang kuat.

Sementara itu, pengunjung yang datang ke perkampungan itu pasti kagum dengan persekitaran rumah kedai dua tingkat diperbuat daripada kayu, persis berada di sebuah pekan kecil di negara China.