Rusuhan Meletus Menjelang Angkat Sumpah Anggota Parlimen

281

Demonstrasi dan rusuhan meletus di luar Bangunan Parlimen Indonesia malam ini menjelang majlis angkat sumpah anggota parlimen baharu Indonesia esok, dengan perusuh merosakkan harta awam.

Bagaimanapun keadaan dilaporkan terkawal kira-kira jam 9 malam ini, setelah pasukan polis dan tentera, mengusir kumpulan perusuh tersebut.

Demonstrasi dan rusuhan itu menyebabkan sistem pengangkutan awam di Jakarta terjejas teruk, dan berlaku kesesakan lalu lintas, apabila polis bertindak menutup beberapa jalan utama di kawasan parlimen yang terletak di Senayan, Jakarta itu.

Demonstrasi dan rusuhan itu adalah susulan demonstrasi ribuan mahasiswa yang berlaku pada 24 dan 25 Sept lepas, demonstrasi yang didominasi golongan mahasiswa dan pelajar sekolah, sebagai membantah cadangan pindaan Rang Undang-undang Kitab Hukum Pidana (RUU KUHP) atau pindaan undang-undang berkaitan jenayah.

Rancangan pindaan undang-undang itu didakwa mengurangkan kuasa Komisi Pembanterasan Korupsi atau badan yang menangani kes-kes rasuah, menyekat kebebasan hak asasi manusia serta melindungi kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

Presiden Indonesia Joko Widodo telah mengarahkan penangguhan undian parlimen terhadap undang-undang itu pada 20 Sept lepas, namun ia tidak memberi kesan dan mahasiwa terus berdemonstrasi.

Esok, akan berlangsung majlis angkat sumpah anggota parlimen Indonesia atau anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi penggal 2019-2024, dan pasti menjadi tanggungjawab mereka untuk proses tindakan selanjutnya berkaitan rang undang-undang itu.

Dalam rusuhan pada 24 dan 25 Sept lepas, polis Indonesia percaya terdapat kumpulan-kumpulan tertentu telah menyusup masuk dalam demonstrasi aman mahasiswa, dengan mencetuskan rusuhan.

Lebih 300 ditahan dalam demonstrasi dan rusuhan itu.- BERNAMA