Rumah Penoreh Getah ‘Berlantai Tanah’ Dibaikpulih

526

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN – Seorang penoreh getah, tinggal di rumah yang tidak berbumbung dan berlantaikan tanah mendapat perhatian daripada PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi.

Ketua Cawangan PAS Batu Sawar, Khaziman Khalik berkata, masalah Aminah Ismail, 45 dan Mohd Yusof Daud, 47, telah di rujuk kepada Majlis Adat Istiadat Agama Islam Negeri Terengganu (MAIDAM) bagi mendapatkan peruntukkan sebanyak RM 5,000

“Alhamdulillah, usaha saya memanjangkan perkara ini kepada MAIDAM, akhirnya hari ini wakilnya telah datang dan melihat sendiri keadaan rumah yang serba kekurangan ini.

“Bayangkan jika hari hujan, macamana keadaan penghuni rumah ini? sangat menyedihkan kerana itu saya amat-amat berusaha sedaya upaya untuk membantu keluarga ini, dan juga telah dimaklumkan kepada Pengarah MTD PAS Bukit Besi, yang juga bersetuju supaya keluarga ini dibantu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ditemui pihak media, ketika hadir ke kediaman berkenaan di Kampung Bukit Beruk, di Batu Sawar, pada Selasa 11 Jun.

Sehubungan itu Aminah Ismail yang ditemui berkata, beliau amat terharu dengan keprihatinan dari MAIDAM, Pegawai Penyelaras dan juga PAS Bukit Besi yang sudi dan tampil membantu.

“13 tahun mendiami rumah dengan keadaan sebegini dan amat tidak mampu mendapat rumah yang selesa hanya tidak sekadar untuk dapat berehat dan berteduh.

“Hasil yang diperolehi dari menoreh getah adalah RM 2.70 sekilogram itupun harga sebelum menjelang raya baru-baru ini.

“Itupun bergantung kepada cuaca jika cuaca elok bolehlah pergi menoreh, jika tidak tiadalah rezeki pada hari berkenaan,” ujarnya dengan nada sebak.

Sementara itu, Pengarah MTD Berkenaan, Ghazali Sulaiman mengesahkan bahawa pasangan suami isteri berkenaan diantara senarai asnaf zakat di DUN berkenaan.

“Setiap kali ada program sumbangan atau apa-apa program bagi membantu keluarga miskin pasangan ini selalu berada didalam senarai dan selalu menjadi keutamaan.

“Diharapkan agar dengan bantuan yang diterima ini sedikit sebanyak dapat mensejahterakan kehidupan pasangan ini beserta tiga orang anaknya,” ucap beliau.