Rohingya Bermaruah Atau Terus Dihina

211

Isu pelarian Rohingya menjadi perhatian umum yang tidak ditangani dengan saksama jika tidak dilihat dalam semua aspek yang berkaitan dengannya secara menyeluruh. Bukan sahaja dilihat dari aspek kemanusiaan dan soal pelarian dengan pandangan selapis sahaja, tetapi aspek-aspek yang lain juga perlu dilihat dan wajib diberikan perhatian yang sewajarnya. Sejarahnya wajib diketahui kerana ia sangat berkait dengan isu kemasyarakatan, agama, politik dan wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia hari ini.

Etnik Rohingya adalah sebahagian daripada masyarakat majmuk di Myanmar yang wajib diberikan hak untuk berpijak di bumi yang menjadi tanah air kelahiran bangsa mereka, sepertimana manusia lain di atas muka bumi ini.

Mereka adalah sebahagian daripada etnik yang pelbagai di negara tersebut yang wajib diiktiraf. Sekiranya ada NGO yang sangat prihatin terhadap binatang yang patut diiktiraf untuk berpijak di bumi tempat kelahiran spesiesnya, maka sangat tidak wajar terdapat manusia yang tidak diiktiraf di atas tanah airnya sendiri.

Langkah menghalau dan bertindak kejam sehingga tidak boleh berpijak di tanah air sendiri, adalah suatu perkara yang sangat zalim dan wajib ditentang oleh masyarakat seluruh dunia secara bersama dan bersifat perikemanusiaan yang sebenarnya. Bukan sekadar menjadi penonton yang bersorak lebih kuat memperjuangkan hak binatang berbanding melaungkan hak asasi manusia.

Seterusnya perlu dilihat, bukan sahaja dari sudut kemanusiaan bagi menyelamatkan nyawa mereka, tetapi mestilah diselamatkan juga tanah air mereka. Janganlah ditinggalkan perjuangan tanah air bagi memberikan hadiah percuma kepada Myanmar untuk menakluk dengan mudah atau bersetuju dengan muslihat menyelamatkan etnik Rohingya dengan tujuan memberi jalan mudah kepada pihak yang zalim mengosongkan tanah air mereka.

Rumah-rumah kediaman dan harta ditinggalkan supaya dirampas dengan mudah, seolah-olah mengiktiraf rompakan yang haram dan tidak berperikemanusiaan. Lebih malang sekiranya ada dalam kalangan mereka yang mewujudkan sindiket di sebalik keadaan ini bagi memudahkan semua etnik Rohingya menjadi pelarian atas sebab yang sangat jahat.

Tanggungjawab untuk menyelamatkan pelarian adalah kewajipan bersama yang ditanggung oleh seluruh dunia yang memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia. Dalam masa yang sama, masyarakat dunia juga wajib bersama bagi menyelamatkan Arakan yang menjadi tanah air etnik Rohingya daripada dirompak hak asasi manusia mereka dengan mudah.

Maka perjuangan mempertahankan tanah air itu hendaklah dibantu, bukan sebaliknya dibantu supaya mereka menyerah kalah kepada kezaliman penceroboh.

Tidak wajar juga hanya Malaysia sahaja dibebankan untuk menerima pelarian dan membantu perjuangan mempertahankan kaum yang dizalimi itu, kerana masyarakat di negara ini lebih proaktif berbanding negara lain dalam menerima pelarian sejak dahulu lagi. Malaysia pernah menerima mangsa perang Vietnam, Kemboja dan lain-lain.

Sepatutnya semua pihak mengambil iktibar bagaimana Turki yang dibebankan untuk menanggung pelarian Syria, yang dikutuk oleh negara-negara Barat bukannya untuk membantu dalam erti kata yang sebenar. Sebaliknya mereka lebih dahagakan minyak petrol yang hendak dicuri dan menyelamatkan Israel sebagai rakan sejawat sekalipun meminum darah manusia sendiri. Malangnya ada pula yang menjadi barua kepada agenda Barat yang sentiasa menjajah.

Dalam keadaan seluruh dunia menjaga diri dan negara masing-masing daripada merebaknya wabak Covid-19, sehingga dilakukan kawalan keluar penduduk dalam negara sendiri dan dikawal ketat kedatangan pelancong dan pengunjung luar negara, maka adalah terlalu tidak berakal jika dibuka pintu kepada pendatang tanpa izin tanpa kawalan dengan cara yang bermudah-mudah atas nama perikemanusiaan tanpa bersikap perikemanusiaan terhadap rakyat dan negara sendiri, sedangkan diketahui bahaya dari sudut penyebaran wabak Covid-19.

Adalah sangat tidak bertanggungjawab juga kalau sekadar untuk menyebarkan berita sensasi dengan harga moral yang sangat rendah, tanpa mengambil kira segala aspek tersebut, dan hanya bermodalkan di atas nama perikemanusiaan yang tidak saksama kemanusiaannya dalam segala aspek yang lebih luas dan pandangan yang jauh.

Bahkan terlalu pendek akal juga mereka yang hanya berniaga media dengan modal perikemanusiaan sahaja, tanpa mempedulikan nilai manusia yang wajib memperjuangkan agama, bangsa dan negara dengan harta dan jiwa raga. Perjuangan demi masa depan dan wawasan yang lebih jauh bukan hanya sekadar menjadi pelarian sementara waktu tetapi untuk menjadi manusia yang berjiwa agama, bangsa dan tanah air. Bukan untuk selama-lamanya menjadi pelarian yang hina dan meminta sedekah tanpa perjuangan yang bermaruah menjadi manusia yang lebih tinggi nilainya daripada binatang yang tidak berakal.

Di Malaysia juga terdapat di kalangan yang mengisytiharkan diri mereka sebagai pejuang kebebasan, tetapi terbabas akal mereka bersama dengan kalangan yang menjadikan Barat sebagai kebanggaannya, kerana sifat kebebasan binatang adalah lebih utama daripada kebebasan manusia.

Allah SWT menunjukkan umat Islam dengan firmanNya:

﴿وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا٧٥﴾

“Dan apakah yang menghalang kamu tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh).” (Surah al-Nisa’: 75)

Sungguh malang Islam yang dizalimi ini pula dituduh sebagai pengganas. Di mana perginya mereka yang bertempik kuat menentang pengganas di Afghanistan dan Asia Barat dahulu, tetapi tidak bertempik pula terhadap keganasan yang sedang mengganas di Rohingya?

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 23 Zulqa’dah 1441 / 14 Julai 2020