Ribut Di Pulau Redang; Kerajaan Salur Bantuan Segera

685

Oleh : Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu akan menyalurkan bantuan segera kepada 39 buah rumah penduduk di Pulau Redang, yang terjejas akibat kesan ribut tropika Pabuk, minggu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai Hanafiah Mat berkata, rumah yang rosak akan dibaiki segera.

Katanya, kerajaan negeri sedang mengumpul data maklumat daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan disalurkan melalui Tabung Darul Iman (TDI).

“Kita (kerajaan) telah arahan MPKK (Majlis Penyelaras Komuniti Kampung) untuk baikpulih segera rumah-rumah penduduk yang rosak kerana angin kuat, ribut Pabuk.

“Data-data maklumat mangsa sedang dikumpul dengan JKM dan pihak Tabung Daru Iman kerajaan negeri akan bayar.

“Kerosakan itu tidaklah teruk sangat dan anggaran bantuan setiap buah rumah antara RM200 hingga RM1,000 sahaja,” ujarnya

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu, di Wisma Darul Iman, semalam, 9 Januari.

Menurutnya, sehari sebelum itu rombongan Exco Kerajaan Negeri bersama agensi-agensi JKM, TDI, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan PAS Kawasan Setiu gagal ke Pulau Redang itu kerana masalah ombak besar dan laut bergelora.