Riadah Ukhwah Dan Tarbiah Bersama Konvoi ARC

516

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU – Sebanyak 47 buah motosikal pelbagai ‘kuasa kuda’ menyertai Konvoi Alternative Riding Club (ARC) Jabi ke Cameron Highlands yang berkonsepkan riadah ukhwah dan tarbiyyah.

Timbalan Yang DiPertua PAS Setiu, Dr Azman Ibrahim berkata, dengan program santai itu, bukan sekadar ‘makan angin’ semata-mata malah dapat merapatkan ukhwah bersama-sama anak muda.

“Kita mendekati mereka seperti masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau kita mengaum,”jelasnya.

“Konvoi ini bukan untuk berlumba tapi kita mahu pupuk di sepanjang perjalanan ialah ikatan ukhwah persaudaraan di kalangan mereka.” katanya yang juga mengingatkan peserta konvoi agar tidak mengulangi tragedi ARC ke Singapura baru-baru ni.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Perkarangan Masjid Jabi Lama sebelum berangkat ke Cameron Highlands, 3 Mei lalu.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, pemuda mempunyai peranan yang penting di peringkat mereka untuk membawa risalah Islam dan menjadi mata telinga kepada kerajaan.

“kita keluar seketika dan semoga kita kembali dengan semangat baru untuk menjalankan tugas diperingkat masing-masing,’’

Sehubungan itu, Ketua ARC Dun Jabi, Abd Aziz Jusoh berkata setiap detik disepanjang perjalanan terdapat kenangan manis dan pahit di alami bersama.

Selain merapatkan ukhwah sesama peserta, penerapan cara menunggang yang berhemah dan berdakwah menerusi platform ini juga diterapkan kepada peserta.

“ Contohnya, apabila berlaku kerosakan pada motor, mereka akan baiki bersama. Dengan itu kesepakatan dan kerjasama dapat diterapkan dan secara tidak langsung ia dapat merapatkan lagi hubungan antara kami .” katanya ketika dihubungi hari ini.