Retak PH Menanti Belah

5527

Benarlah apa yang didakwa oleh PAS sebelum ini meskipun dinafikan berkali-kali oleh beberapa pimpinan PH.

Bangkai gajah tidak mampu ditutup dengan nyiru lagi. Adalah benar bahawa ada kelompok dalam PH yang merancang untuk menjatuhkan Tun Mahathir sebagai PM.

Ada yang tidak sabar menjadi PM. Ia telah disahkan oleh dua menteri dari PBBM. Retak PH hanya menanti belah.

Sementelah pelbagai isu yang meresahkan rakyat. Statut Rom yang menimbulkan kebimbangan Raja-raja Melayu sehingga Tun M terpaksa mengumumkan penarikan diri kerajaan Malaysia.

Hibah terendah TH 1.25% sepanjang sejarah yang bakal meruntuhkan TH sebagai pemegang deposit terbesar umat Islam Malaysia.

Idea kereta terbang yang menjadi bahan ketawa rakyat. Buluh menggantikan sawit yang menjadi bahan ejekan kerana menutup isu sebenar masalah pasaran sawit.

Bantuan peneroka Felda dan nelayan serta penoreh getah yang masih kabur. Kenaikan harga barangan yang semakin menyesakkan dada rakyat marhaen.

Semua ini sepatutnya mendesak kerajaan PH dibubarkan dan pilihanraya umum diisytiharkan segera. Rakyat tersangat tidak selesa dengan pentadbiran PH dalam 10 bulan pertama pentadbiran mereka. Pulangkan semula kepada rakyat untuk menentukan kerajaan.

Dr Khairuddin Takiri
Sabtu 6hb April 2019