Rejim India Gunakan ‘Warga Negara’ Alat Sisih Masyarakat

272

Rejim Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah, didakwa menggunakan pendaftaran warga negara sebagai alat untuk menyisihkan masyarakat Islam.

Pada 31 Ogos, India mengecualikan hampir dua juta orang dari senarai kewarganegaraan di negeri timur laut Assam.

Rancangan pemerintah nasionalis Hindu itu untuk melaksanakannya di peringkat kebangsaan telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Muslim.

Aktivis telah mengkritik proses Pendaftaran Warga Negara (National Register of Citizens – NRC)
yang dipantau oleh Mahkamah Agung atas kecacatan dan kelemahan prosedur.

Banyak kes berlaku di mana rakyat India asli, termasuk bekas pegawai kerajaan, telah dikecualikan daripada menjadi warga negara.

Beberapa pemimpin BJP, termasuk Menteri Dalam Negeri Amit Shah, menuntut NRC dilaksanakan di seluruh negara untuk mengenal pasti dan mengusir pendatang tanpa izin.

Ramai umat Islam mempercayai BJP telah menggunakan isu kewarganegaraan untuk mensasarkan komuniti, yang membentuk 14 peratus penduduk India 1.3 bilion.

Mohammad Yehya, pelajar di Universiti Jamia Millia, New Delhi berkata, disebabkan kebimbangan yang semakin meningkat, para ulama dan pemimpin Islam telah menasihati masyarakat minoriti untuk memastikan semua dokumen yang menyokong kewarganegaraan dimiliki.

“Terdapat ketakutan di kalangan umat Islam bahawa BJP akan meneruskan rancangan NRC di seluruh negara supaya kita berhati-hati dan mengekalkan semua sijil dan dokumen supaya tidak ada yang menghadapi masalah esok,” katanya kepada Al Jazeera.

Retorik mengenai isu imigresen telah menambah ketakutan mereka apabila Amit Shah menegaskan kedudukan partinya berkata, “Tidak seorang pendatang tanpa izin akan dibenarkan tinggal.”

Shah, yang dianggap sebagai orang kanan Perdana Menteri Narendra Modi, telah lama disebut sebagai ‘anai-anai’ pendatang Bangladeshi, sebuah komen yang dipertahankan oleh jurucakap BJP dalam satu wawancara.

Pengkritik juga menuduh BJP melemahkan semangat perlembagaan sekular India selepas parti nasionalis Hindu itu menyatakan bahawa, ia akan meminda undang-undang kewarganegaraan untuk melindungi orang Hindu yang dikecualikan daripada senarai Assam NRC.

“Jika BJP mahu melaksanakan NRC di seluruh negara, biarkan mereka melakukannya tetapi apabila pemimpinnya secara terbuka mengatakan bahawa orang Hindu, Sikh, Jain dan Buddha tidak perlu bimbang, apakah maksudnya?

“Ia jelas bermakna proses itu bertujuan untuk menyasarkan hanya Muslim, “kata Arsheel Jamal, 30, yang berniaga kedai runcit di kawasan Zakir Nagar di Delhi.

“Undang-undang harus sama untuk semua orang sama ada pendatang adalah Hindu atau Muslim atau Buddha,” tambah Jamal.