RBA VS Mujahid Siber

253

Untuk dua minggu lepas, saya banyak menulis artikel. Dan saya dapati, tulisan-tulisan saya itu dibaca dan mendapat respon yang sangat baik dari kalangan rakan-rakan pembaca. Walaupun agak panjang, ada beberapa tulisan yang saya kira berjaya mencuri tumpuan pembaca. Terbukti apabila ianya disiarkan di Harakahdaily, ada tulisan saya itu menduduki carta teratas ‘paling dibaca’. Alhamdulillah dan jutaan terima kasih daripada saya kepada semua kawan-kawan dan juga yang rakyat Malaysia di luar sana yang sebenarnya memberikan semangat kepada saya untuk terus mengetuk papan kekunci, bukan bermegah.

Tetapi, ada keburukannya juga. Red Bean Army (RBA) atau ‘Tentera Bawang’ yang pro kepada PH, mula mendekati saya. FB saya penuh dengan komen-komen mereka. Jika dibaca komen-komen di Harakahdaily, saya tidak tahu, dari mana mereka belajar akhlak. Saya tidak kisah dengan mereka yang sinis. Tetapi jika makian, cercaan, fitnah, ditabur sembarangan, ibarat tuhan itu tidak melihat perbuatan mereka, bagaikan malaikat sedang bercuti panjang dari mencatat segala tulisan mereka, saya akan bertindak.

Saya semakin menyakini, mereka kebanyakkannya bukan Islam, tetapi menyamar sahaja. Ada yang mahu pimpinan mereka menyaman saya, ada yang ajak berdebat, ada yang marah-marah, ada yang menuduh saya takut dan memadamkan tulisan saya, sedangkan mereka boleh lihat di Harakah, kandungannya sama. Tulisan saya juga saya hantar ke WhatsApp rakan-rakan. Sama sahaja kandungannya. Saya sudah bersiap menghadapi kemungkinan, mungkin akaun FB saya akan disekat atau digodam. Tetapi anda masih boleh membaca tulisan saya di Harakahdaily dan Buletin Online insyaAllah.

Dengan mereka, jika kita mengatakan bahawa rumput yang segar itu hijau, dan mereka membangkangnya dengan dakwaan bahawa rumput itu oren, maka perbalahan itu tidak akan berkesudahan. Sebab yang pertama, kenyataan rumput segar itu berwarna hijau, datang dari lawan mereka. Apa sahaja yang datang dari lawan mereka, mesti mereka tentang, sehingga menang. Itu prinsip mereka. Kedua kerana kesombongan atas kebodohan mereka, maka mereka tetap melawan. Ingat pesan Imam Syafie? beliau tidak pernah menang melawan orang bodoh. Jadi, lebih baik diam.

Saya mengambil tindakan dengan menyekat akaun sebahagian mereka. Ini kerana, saya tiada masa, atas alasan yang saya sebutkan di atas, untuk melayan mereka. Mereka bergerak secara berkumpulan. Ia terbukti apabila saya menyekat salah seorang dari mereka, langsung ada pertanyaan dari rakan mereka, kenapa menyekat si polan? Bagaimana dia tahu jika tidak empunya akaun yang memaklumkan? Kerja mereka menghentam pembangkang, terutamanya PAS, jadi mereka banyak masa dan rancangan. Mereka hanya memberikan beberapa persoalan yang tidak lojik, berulang-ulang, bergilir-gilir, sehingga kita penat.

Apabila kita tidak menjawab, maka mereka mendakwa mereka menang. Berbaloikah kita menerima mereka hadir dalam FB kita? Sudah tentu tidak. Ada lebih baik kita menulis apa yang benar, terbukti dengan segala yang tersurat. Jika mereka mahu menjawab, mereka boleh menggunakan akaun masing-masing sebagai medan menjawab. Saya menghormati rakan-rakan saya yang berlainan ideologi dengan menahan diri daripada memberi komentar di akaun mereka. Tetapi bila datang ke akaun saya, saya ada hak saya.

Semua ini mereka lakukan adalah kerana kepentingan dunia yang sedikit. Ramai yang dahulunya sebelum PRU, sangat bersemangat berkempen untuk PH, kerana percayakan janji-janji PH. Kini mereka hanya membuat hantaran di FB mereka berkenaan kucing mereka mahu beranak, bunga mereka dimakan kambing atau resepi-resepi masakan. Tiada lagi isu politik, kerana mereka berpolitik ikut-ikutan sahaja, tanpa mengetahui hal sebenar. Mereka telah dipergunakan dan rasa sangat kecewa. Hasrat mereka mahu melihat Malaysia ini semakin baik berbanding BN dahulu, tetapi hampa, menjadi lebih teruk di bawah PH.

Oleh kerana itu, mereka meninggalkan cerita politik ini. Yang masih berdiri teguh menyokong dari kalangan PH ialah majoritnya mereka yang dibayar. Ia diakui sendiri oleh bekas ahli pasukan mereka. Mempunyai banyak akaun ‘medsos’. Menjadi ‘Tentera Bawang’ kepada PH bukan percuma, ada harganya. Ia adalah periuk nasi bagi mereka yang menerima bayaran. Oleh itu kita faham bahawa ini adalah satu kerjaya. Ada kerja, ada gaji. Jika tidak, gigit jari. Sekiranya PH kalah, maka habislah pendapatan mereka. Dan, mereka mesti melakukan semua itu. Sangat tidak berbaloi bagi sesiapa yang berjuang untuk PH secara percuma, sedang RBA yang lain menikmati elaun.

Manakala di sebelah PAS, sekumpulan rakyat yang cintakan keadilan yang dijanjikan (sebenarnya telah dibuktikan oleh pemerintahan atas nama Islam di Kelantan dan Terengganu dengan anugerah-anugerah dan pengiktirafan di pelbagai peringkat), juga melakukan tugasan yang sama. Mereka ialah Mujahid dan Mujahidah Siber (MS) yang membantu PAS dalam menyebarkan dan menerangkan tentang Islam. Mereka tidak dibayar, mereka melakukannya atas inisiatif diri. Memperbetulkan semula pembohongan-pembohongan yang dilakukan musuh samada dengan penerangan sendiri atau pimpinan.

Mereka melakukan ini kerana percaya kepada imbuhan yang Allah janjikan. Tiada upah dunia yang dijanjikan, berbeza dengan lawan mereka. Jika PAS kalahpun, mereka terus berkerja sebagai MS kerana sememangnya daripada mula, mereka tidak mendapat upah. Jadi tidak ada apa-apa beza samada menang atau kalah. Yang penting kerja memberikan maklumat yang betul tentang PAS, mesti diambil tanggungjawabnya. Semoga Allah memberikan balasan yang sebaiknya kepada semua MS PAS.

Setelah kita melihat perbezaan ini, maka fahamlah kita. Seteru mengharapkan wang untuk terus bergerak, manakala MS mengharapkan redha Allah dalam pekerjaan ini. Perbezaan ini menguji keimanan manusia. Selalu kita akan tenggelam jika melihat kepada dunia yang menggiurkan. Hal ini menjadi kebiasaan kerana itulah ujian. Demi mendapatkan ganjaran daripada Allah, kita mesti sanggup berkorban dengan mengikuti jejak langkah para anbiya’ yang apabila ditanya apa yang kamu dapat dengan dakwah ini, mereka menjawab, upahku di sisi Allah. Membenamkan segala kesombongan lawan.

Firaun mendapat kekuatan dari Allah bagi mengawal perjalanan Sungai Nil. Firaun juga dikatakan tidak sakit, kaya dan berkuasa. Manakala Nabi Musa pula hanya seorang yang miskin, pelat cakapnya, tiada kuasa atas Mesir, sangat jauh kurangnya berbanding Firaun. Adakah itu menunjukkan Firaun benar? Pastinya tidak. Nabi Musa yang benar disebabkan baginda mempraktikkan seruan Allah dalam kitab Taurat, bukan kerana pangkat dan harta. Kehebatan yang kononnya dimiliki oleh Firaun sebenarnya istidraj iaitu umpan bagi lebih melalaikan dirinya dan akhirnya disentap Allah.

Kedua-dua pihak PH dan PAS mendapat hadiah dari Allah. PH mendakwa mereka menang kerana mereka benar dan PAS pula menyakini menang di Kelantan dan Terengganu bersama keredhaan Allah. Sama-sama mendakwa mendapat restu Allah. Siapa yang benar tanggapan mereka? Agak mudah jika mahu digali kebenarannya. Mereka yang menggunakan dalil-dalil al-Quran dan Sunnah, dipraktikkan pada tempatnya, itulah yang paling benar. Jika ada pertikaian, ia bukan atas perkara asas, ia hanya perkara cabang agama. Namun bagi golongan yang langsung tiada dalil, pastilah mereka terkeluar dari landasan.

Pun begitu, mereka tetap yakin mendakwa mereka mengikut Islam yang betul, walaupun melencong jauh. Kita tidak hidup dizaman para nabi, tiada mukjizat untuk dilihat membuktikan kebenaran, jadi kita mesti mencari tandanya. Tanda yang saya sebutkan tadi sebagai satu lambang kebenaran PAS, iaitu mengikut jalan Allah dan rasul tinggalkan. Kita dapat melihat komitmen pimpinan PAS untuk memartabatkan Islam.

Lihatlah pakatan mereka. Mereka mempunyai Siti Kassim yang mendakwa Allah itu satu getaran, mereka ada rakan yang mengaku mengadakan hubungan songsang, mereka ada menteri Islam yang menipu, mereka dilengkapi dengan ketua dan ahli yang memfitnah lawan sehingga sekarang tidak dibuktikan, mereka dikuasai si kafir, mereka mula mempersoalkan Islam, mereka mahu menghambat pendakwah Islam yang disahkan bersih oleh Interpol, mereka ada kumpulan pendesak yang laparkan jawatan PM, diam ketika rasulullah dihina dan banyak lagi. Satu soalan mudah, adakah tanda ini semua disukai Allah?

Jadi setelah kita melihat tanda-tanda jelas ini, menjadi suatu kemestian kepada MS untuk mempertahankan kebenaran dan juga diri sendiri agar tidak terjerumus ke sebelah sana, samada menyertai mereka, mahupun mengikut cara kerja hina mereka itu. Semestinya MS ada jati diri Islam yang menunjukkan jalan yang betul untuk diikuti dan jalan salah untuk dijauhi. Jangan nanti MS tersungkur di pintu syurga. Jangan jadikan pertolongan Allah bertukar menjadi istidraj.

Jika kita bermain jual beli saham, kita dikatakan mengalami kerugian apabila contohnya kita ketika membeli saham berharga RM10 dan sekarang ia jatuh kepada RM5. Kita rugi di atas kertas RM5. Kerugian itu tidak sahih, sehinggalah kita menjualnya dengan harga RM5 itu, maka sahihlah kita kerugian RM5. Tetapi jika kita bertahan, maka kita disebut rugi secara teknikal, bukan realiti sebanyak RM5. Apa yang membuatkan ianya menjadi realiti? Ianya kerana jualan atas sikap tidak sabar kita itu.

Begitulah juga dengan kerja-kerja dakwah ini. Kita tidak tahu ke manakah Allah akan letakkan kita, ke syurgakah, atau ke nerakakah? Sehinggalah kita mati, baharulah tentu, ke mana Allah menghantar kita. Jadi kita wajib menurut arahan pimpinan kita, kerana sudah tahu mereka mengikut al-Quran dan sunnah. Bersabar dan jangan mengikut cara dan jejak langkah sumbang lawan, yang sudah ketahui umum, jika tidak diampunkan Allah, ke mana arah mereka dengan fitnah dan penipuan itu. Kita pastikan segala bantuan Allah itu ialah keredhaanNya dengan melakukan kerja seikhlas mungkin dan menepati syarak.

Senarai orang yang ada dalam pakatan mereka dan bukti cara kerja mereka sudah saya berikan di atas. Adakah sanggup mereka mengatakan mereka itu menurut jalan Allah? Inilah bezanya RBA dan ‘Tentera Bawang’ PH berbanding dengan MS kepunyaan PAS. Semoga saya dan MS semua tidak tergelincir amiin.

Mohd Nasir Abdullah
Al-Khor, Qatar
3 Ogos 2019