Ramaikan Ahli, Perbanyakkan Cawangan

482

Oleh: Nooreni Abu Bakar

KEMAMAN – Untuk mempertahankan kemenangan PAS di Terengganu, setiap anggota dan penyokong PAS hendaklah mengambil tanggungjawab untuk menubuhkan lebih banyak cawangan baru serta meramaikan ahli baru.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Husain Awang berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Dewan-Dewan Ulama, Muslimat, Pemuda dan juga Ameerah perlu memainkan peranan.

“Manakala Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) bertanggungjawab mendidik dan membina ketahanan dan juga kefahaman Islam kepada seluruh jentera kerajaan dan juga jentera parti, ” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu yang diadakan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di sini pada Sabtu, 1 Disember.

Oleh itu, Ustaz Husain menyeru para hadirin, bersatu tenaga menguatkan usaha di kawasan masing-masing, menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Seterusnya, marilah kita mempertahankan kemenangan ini dengan merealisasikan faktor berikut,

“Pertama, budaya politik matang dan sejahtera, semua kita bersedia berkhidmat kepada orang ramai kerana sebahagian masyarakat sukar menerima dakwah,

“Yang kedua, sebuah kerajaan yang adil iaitu sebuah kerajaan yang menegakkan sesuatu yang telah condong, memberi insaf kepada yang zalim,” tegasnya.

Menurut beliau, kerja membaik pulih sesuatu yang rosak dan juga yang membela kepada golongan yang lemah, adalah langkah terpuji yang dilakukan sepanjang masa.

Ahli Dewan Negara itu juga menekankan, PAS Negeri terus komited untuk melaksanakan dasar Islam yang dipandu arah oleh Plan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS).

“Kita juga bersyukur 60 peratus (pelaksanaan Manifesto) kita telah dipertegaskan menerusi bajet 2019.

“Dan keseluruhan janji-janji tersebut akan sempurna terlaksana dalam tempoh sebelum pilihanraya akan datang ini Insya Allah, ” kata beliau lagi.