Ramadan Dihayati, Syariat Dipatuhi

304

KUALA TERENGGANU – Ramadan hadir untuk sama-sama dihayati kerana pensyariatan berpuasa di dalam bulan itu, wajib dipatuhi dan dilaksanakan dengan sesempurna yang boleh.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu(DMPNT), Hajah Zarani Othman berkata tuntutan ibadah bukan saja pada kewajipan berpuasa, malah lebih daripada itu, kerana al-Quran diturunkan pada bulan yang mulia ini.

“Bulan Ramadhan juga adalah bulan tarbiyah, kerana ianya bermatlamatkan untuk membina insan bertaqwa.

“Mendidik diri dan jiwa seorang hamba agar diberikan kekuatan dalam menunaikan ibadat, ” katanya di dalam satu perutusan sempena menyambut ketibaan Ramadan Al-Mubarak 1440H. yang dikeluarkan di sini, pada 5 Mei.

Menurutnya, Ramadan juga digelar bulan jihad di mana sejarah menukilkan kisah kemenangan Islam yang dicapai oleh para pejuang Islam.

“Perang Badar, pembukaan Mekah, kemenangan tentera Islam mengalahkan tentera Salib di bawah Salehuddin Al-Ayubi, semua ini berlaku dalam bulan yang mulia ini.

“Semuanya ini sebagai satu dorongan untuk kita umat Islam terus menerus bekerja membina kekuatan rohani dan jasmani bagi memartabat Islam dan mendaulatkan syariat Allah SWT, sedang musuh Islam sentiasa berusaha untuk menghancur Islam,” jelasnya lagi.

Beliau yang mewakili DMPNT mengajak semua mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan menambahkan amal ibadat kita.

“Ramadan merupakan bulan anugerah Allah SWT buat hamba-Nya, kerana Allah menjadikan kita sebagai tetamu Allah. Ianya hadir.

“Agar kita semua dapat memanfaatkannya dengan amal ibadah yang bakal diganjari pahala dengan pahala yang tiada batasnya dan tidak terus lalai dengan urusan duniawi,” terang beliau sambil berharap peluang ini tidak disia-siakan.

Di kesempatan itu juga, katanya, DMPNT mengajak rakyat Terengganu untuk sama-sama hadir ke Madinah Ramadan Terengganu 2019 yang diadakan bertempat di Padang Taman Awam, Batu Burok.

” Pelbagai pengisian menarik dan bermanfaat menanti semua pengunjung. Jangan lepaskan peluang, ” tambahnya lagi yang turut mengalu-alukan rakyat Terengganu ke program tahunan kerajaan negeri itu.