Ramadan Bulan ‘Memburu Cinta Allah’

299

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: “Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan, menyerulah malaikat, katanya: “Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan! Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan! Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka- daripada memasukinya”. Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan).[Riwayat Tirmizi dan Nasa’i]

Alhamdulillah, marilah kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masih dipanjangkan nyawa untuk merasai betapa nikmatnya dapat bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun ini. Nikmat yang Allah berikan ini amatlah besar bagi yang mempercayainya, namun ia juga akan berakhir pada bila-bila masa, jadi amatlah rugi mereka yang mempersiakannya. Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan terutamanya di 10 malam terakhir dan ia juga penuh dengan pengampunan bagi yang ingin meraih cintanya.

Bulan Ramadhan bulan al-Quran dan diturunkan kepada kekasih kita baginda Rasulullah SAW. Bermula dengan kalimah( اقرأ ) atau bacalah dan akhirnya lengkap menjadi panduan buat kita umat nabi akhir zaman. Al-Quran yang lengkap ini semestinya panduan untuk seluruh umat manusia, di dalamnya sudah penuh dengan hikmah yang menerangkan segalanya dari perihal ekonomi, politik, masyarakat, undang-undang Islam dan sebagainya.

Rebutlah peluang di bulan Ramadhan kali ini untuk menghayati peristiwa nuzul Al-Quran dan sama-samalah kita gandakan usaha untuk membaca Al-Quran walau sesibuk mana pun kerja kita. Usahlah dunia yang sementara ini menjauhkan kita dari Ramadhan, sehingga ia berlalu pergi tanpa kita sedar Ramadhan ini mungkin yang terakhir buat kita.

Saya ingin mengambil peluang ini untuk menyeru seluruh umat Islam terutama dari kalangan jamaah agar terus bersatu hati dan bersama-sama dalam menjayakan usaha dakwah di bumi Terengganu yang kita cintai ini.

Bulan ini ialah bulan untuk memburu cinta Allah. Selain berpuasa bulan ini juga penuh dengan ibadat qiyam, bersedekah, berwakaf, zakat fitrah, membaca Al-Quran dan tidak dilupa lailatul qadar yang kita buru setiap kali Ramadhan. Moga dengan mengimarahkan ibadat yang ada ini, kita akan lebih rajin untuk ke surau,masjid atau program agama.

Akhir kata dari saya, Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam. Moga Ramadhan kali ini dapat menjadikan kita insan yang lebih baik dalam memburu keberkatan dan pengampunan dari Allah SWT.

Islam Memimpin

YB Senator Dato’ Haji Husain bin Awang
Pesuruhjaya PAS Negei Terengganu
Ahli Dewan Negara

5 Mei 2019
29 Syaaban 1440H