Ramadan Bulan Al-Quran

324

Ramadan sebagai bulan pilihan yang diwajibkan berpuasa adalah sangat bermakna dan berhikmah. Pada bulan ini juga Allah memilih diturunkan Al-Quran daripada Luh Mahfuz ke langit dunia, sebelum diwahyukan secara sedikit demi sedikit, mengikut berlakunya sebab yang memerlukan petunjuk wahyu secara langsung, menerangkan perkara rukun iman, Islam dan akhlak yang wajib ditegaskan, serta menyampaikan iktibar pengajaran dan ilmu, khususnya dalam perkara yang tidak mungkin dicapai oleh akal manusia yang tetap adanya sifat-sifat kelemahan, sehingga mereka memerlukan petunjuk Allah Tuhan Pencipta Alam yang wajib bersifat Maha Rahmat, Adil dan Bijaksana.

Puasa yang diwajibkan hanya pada waktu siang hari pada bulan Ramadan ini, rukunnya meninggalkan makan minum yang menjadi rukun hidup setiap manusia yang wajib menjaga nyawa. Betapa wajibnya menjaga nyawa itu sehingga dihalalkan yang haram apabila dalam keadaan darurat tidak ada makanan halal, kerana menjaga nyawa hendaklah diutamakan.

Begitu juga disuruh wajib menahan hawa nafsu walaupun dihalalkan selain waktu puasa. Tujuannya mengajar dan melatih diri supaya mematuhi perintah Allah dengan mengabdikan diri kepada Tuhan pencipta diri manusia dan segala keperluan hidupnya. Tuhan yang disebut Allah dengan maksud hanya kepada Allah sahaja yang layak diperhambakan diri dengan melakukan ibadah dan lain-lain. Tuhan juga disebut Rabbu Al-‘Alamin (pencipta alam semesta dan mengurusnya dengan bijak dan adil).

Hubungan manusia dengan Allah itu tidak sama dengan hubungan sesama manusia, seperti antara ketua negara dengan rakyat, pegawai dengan ketua, pekerja dengan majikan dan sebagainya. Sebabnya hubungan sesama manusia tidak sepanjang masa dan boleh diputuskan bila-bila masa. Adapun hubungan antara hamba dengan Tuhan tiada pilihan untuk dinafikan begitu sahaja, kerana Allah itu pencipta makhluknya dan segala perkara yang berkaitan dengannya secara berkekalan. Sepanjang masa dan setiap degup jantung dan nadi, serta aliran darah dalam jasad yang mengerakkannya sehingga berfikir dengan otaknya adalah kurniaan Allah.

Perintah wajib berpuasa itu dengan firman Allah, begitulah semua Al-Quran itu adalah firman Allah yang wajib beriman kepadanya dan menjadikannya petunjuk.

Al-Quran inilah sebenarnya disebut hidayah yang bermaksud petunjuk yang wajib dipinta setiap rakaat solat yang disebut dalam surah Al-Fatihah yang menjadi rukun solat. Surah yang terkandung di dalamnya pujian kepada Allah yang tiada kemampuan kita menyebut segala nikmat kurniaanNya dan mengaku kepadaNya sahaja diabdikan diri dan kepadaNya sahaja diminta pertolongan yang diulangi setiap rakaat solat. Selepas lafaz kepujian yang layak bagiNya sehingga tiada perkataan yang mampu dicari melainkan dengan wahyu surah Al-Fatihah ini. Disebut pula doanya:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (6)

“Berilah hidayah (petunjuk) kepada kami ke jalan yang betul”. (Surah Al-Fatihah: 6)

Mengapa perlunya diulangi doa ini? Tidakkah kita sudah yakin kepada Islam ini satu-satunya yang benar dan betul dengan kenyataan Allah sendiri?

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ (19)

“Sesungguhnya Ad-Din (yang benar dan diredai) di sisi Allah adalah Islam. Dan orang-orang yang mempunyai Kitab Suci (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya”. (Suran Aali ‘Imraan: 19)

Firman Allah:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ (85)

“Dan sesiapa yang mencari Ad-Din selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada Hari Akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi”. (Surah Aali ‘Imraan: 85)

Perkataan Ad-Din tidak cukup diterjemahkan dengan perkataan agama mengikut semua bahasa, kerana termasuk di dalam makna Ad-din adalah seluruh aspek kehidupan termasuk disebut tentang ideologi dan teori ciptaan manusia, alam angkasa lepas dan alam ghaib seperti kuman paling halus yang mencapai kajian manusia dan makhluk ghaib yang tidak mungkin dicapai oleh pancaindera, otak dan akal manusia, serta alam akhirat yang selama-lamanya berada dalam ilmu yang dinyatakan dan tidak dinyatakan. Semuanya itu wajib diimani.

Apa yang ditunjukkan di hadapan kita terkini sudah banyak, sama ada yang berjenama agama, ideologi dan teori, semuanya mengaku benar. Orang yang beriman percaya bahawa yang benar itu hanya daripada Allah sahaja, firmanNya:

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقًا مِّنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ (146) الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ (147)

“Orang-orang yang mempunyai Kitab Suci (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian) (146); Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad) adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu”. (Surah Al-Baqarah: 146-147)

Pada satu hari Rasulullah S.A.W. bersabda kepada para sahabat R.A., generasi awal yang mewarisi ajaran dan petunjuknya, setelah melakarkan garisan yang lurus di atas tanah dan menggariskan garis-garis yang bercabang di kanan dan kiri, lalu Baginda S.A.W. menyebut firman Allah:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (153)

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa”. (Surah Al-An’aam: 153)

Rasulullah S.A.W. menegaskan garisan yang betul hanya Islam. Adapun setiap satu cabang itu adalah jalan sesat yang ada syaitan yang menunggu dan menggoda supaya mengikutnya.

Manusia akan terkeliru kepada dakyah syaitan itu, kerana semuanya mendakwa jalannya sahaja yang betul. Adalah sangat mencabar dalam dunia moden yang canggih ini terlalu banyaknya seruan, bukan sahaja yang berpijak di atas tanah bumi yang berbukit bukau, bahkan meredah di langit terbuka tanpa sempadan melalui lisan, tulisan tayangan oleh syaitan yang paling cerdik menipu dan menggoda dengan ketinggian ilmunya dan menunjuk-nunjuk sifat baiknya, sehinggalah yang paling bodoh dan jahat menjadi bala tenteranya juga.

Maka dalam dunia yang sangat mencabar ini, setiap orang wajib bergantung kepada Allah, tidak cukup dengan ilmu dan akalnya sahaja. Hendaklah juga bersungguh mengkaji Al-Quran secara berseorangan dan berjemaah, kerana inilah petunjuk daripada Allah, serta mentarbiah diri dengan ibadat puasa sehingga mencapai sifat taqwa, agar berhati-hati dalam perjalanan hidup yang berwawasan dunia dan akhirat.

Hayatilah pesanan Allah:

قُلْ إِنَّمَا أَعِظُكُم بِوَاحِدَةٍ أَن تَقُومُوا لِلَّهِ مَثْنَىٰ وَفُرَادَىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّرُوا مَا بِصَاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍ إِنْ هُوَ إِلَّا نَذِيرٌ لَّكُم بَيْنَ يَدَيْ عَذَابٍ شَدِيدٍ (46)

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)”. Sebenarnya tiada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); dia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat)”. (Surah Saba’: 46)

Sebab diwahyukan ayat ini apabila ada kalangan yang menyaksikan peribadi Rasulullah S.A.W. yang dipilih oleh Allah menerima Al-Quran dianggap gila. Apabila mereka tidak mampu berhujah, maka dilemparkan fitnah, lalu Allah menyuruh mereka berfikir dengan ikhlas secara bersendirian atau bersama teman yang dipercayai demi mencari kebenaran.

Allah juga berjanji memberi hidayahNya kepada sesiapa yang bersungguh-sungguh mencari kebenaran:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ (69)

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana mahu berada di jalan Allah yang benar (Islam), sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bertemu kebenran, serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”. (Surah Al-‘Ankabuut: 69)

Puasa Ramadan mendidik manusia supaya cergas berfikir dengan otak yang sihat yang diletakkan di atas kepala yang tinggi, bukannya berada dalam perut sehingga berfikir sekadar mengisi perutnya sahaja, kerana Allah menjadikan diri manusia itu mulia dengan akalnya, tiba-tiba disalah guna akalnya dengan hanya menumpukan fikirannya demi isi perut, sehingga menjadikannya lebih hina daripada najis sendiri, apabila hidupnya untuk makan, bukannya makan untuk hidup beriman, beramal dan berbudi mulia.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 8 Ramadan 1440 / 13 Mei 2019