Rakyat Malaysia Perlu Hormati Jalur Gemilang

100
Bendera Terbalik: Polis Perlu Tegas Terhadap Perkara Ini

Bendera Terbalik: Polis Perlu Tegas Terhadap Perkara Ini YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden PAS 23 Ogos 2019 Rusila

Posted by Terengganu Kini on Thursday, August 22, 2019

Oleh : KAM

MARANG – PAS mengesa pihak polis dan kerajaan perlu bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja mempermainkan isu jalur gemilang yang menjadi simbol negara ini.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama perlu menghormati bendera jalur gemilang.

Ini kerana, katanya jalur gemilang itu adalah persetujuan bersama ketika menuntut kemerdekaan negara serta mempunyai makna pada simbol-simbol tertentu.

“Polis dan kerajaan perlu bertegas dalam hal ini, kerana bendera ini simbol negara. Jadi, rakyat Malaysia perlu menghormati simbol negara ini. Tak kira siapalah, semua rakyat Malaysia tak kira agama, bangsa perlu menghormati jalur gemilang.

“Kita menghormatinya. Jalur gemilang ini adalah persetujuan bersama, mereka yang memperjuangkan kemerdekaan itu, kita menghargai walaupun PAS ketika itu parti pembangkang. Kita bukan kerajaan, PAS satu kerusi sahaja masa itu.

“Kita parti pembangkang tetapi menerima kemerdekaan itu. Selepas itu, kita isi kemerdekaan,” ujarnya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Mohd. Syahir Che Sulaiman.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyarankan agar anak-anak muda generasi baharu ini perlu menghayati erti kemerdekaan negara.

Menurutnya, golongan yang anti kemerdekaan disifatkan sebagai saki baki penjajah ataupun bekas-bekas komunis di masa lalu.

“Anak-anak muda perlu menghayati kemerdekaan negara. Jadi mereka yang anti kemerdekaan ini saki baki penjajah atau bekas-bekas komunis. Bekas-bekas komunis yang dendam terhadap tentera yang lawan komunis.

“Kita menghargai tentera kita yang menentang komunis dulu, kita menghargainya. Kita menghargai pejuang-pejuang kemerdekaan kita daripada semua kalangan termasuk orang Cina, India yang sama-sama memperjuangkan kemerdekaan.

“Isi kemerdekaan itu bukan dengan cabut bendera, bukan pusing (terbalik) bendera. Itu bendera tetap kita pertahankan dan bendera itu ada simbol-simbol dia, ada makna dia, jangan kita buat main-main begitu,” tegasnya.

Katanya, isu pemasangan terbalik bendera Malaysia jalur gemilang itu tidak harus berlaku setelah negara mencapai kemerdekaan 61 tahun lalu.