Rakyat Berhempas Pulas, Mangsa Banjir Kemaman Belum Selesai, MB Terengganu Melancong Ke Antartika

285

Merujuk kepada kenyataan yang disiarkan di dada akhbar semalam 15 Januari, PAS menggesa penjelasan kukuh, ‘rasional’ pemergian Menteri Menteri Besar Terengganu ke benua ais Antartika.

Dalam suasana kos kehidupan yang makin menekan rakyat, serba serbi menjadi semakin mahal dan kerajaan meminta rakyat untuk mengkat perut serta berjimat cermat, sebaliknya mengapa kerajaan membelanjakan hasil cukai rakyat kepada sesuatu yang belum pasti?

Sedang apa yang nyata di hadapan mata kita semua adalah, ramai yang masih tidak mempunyai peluang pekerjaan, hampir 80,000 mahasiswa yang masih menanggur bahkan nasib lebih 1,000 orang pekerja Perwaja Steel di Kemaman terumbang-ambing kerana tidak dibayar gaji secara tetap!

Pada masa yang sama, amat malang sekali kepada rakyat Terengganu, tatkala 15,000 mangsa banjir kehilangan harta benda sedang berhempas pulas memulihkan hidup mereka, Menteri Besar Terengganu boleh pergi melancong ke Antartika, yang pastinya menelan belanja dan kos yang tinggi.

Amat malang juga kepada rakyat Terengganu, mempunyai seorang pemimpin yang tidak memahami dan merasai denyut nadi penderitaan rakyat, setelah memecat 300 orang guru-guru KAFA dan menamatkan perkhidmatan guru-guru Hafiz, Ahmad Said boleh merasa senang hati untuk pergi keluar negeri.

Justeru, PAS menunut penjelasan yang tuntas dan telus dari pihak kerajaan, pembabitan Menteri Besar Terengganu dalam delegasi tersebut dan perincian kos yang akan dibelanjakan serta hasil yang akan diperolehi, kepada Negara dan negeri Terengganu khususnya.

Kepimpinan adalah satu amanah yang mesti dilunaskan sejujurnya dan bukan suatu ghanimah bagi membolehkan pemimpin mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya. Pengganti nabi SAW, Syaidina Umar al-Khattab di persoalkan hanya sekadar kain yang beliau pakai kerana dirasakan berlebihan mengambil bukan haknya.

Dan Khalifah Umar Abdul Aziz memadamkan lilin peruntukan kerajaan lalu memasang lilin milik peribadinya ketika berbicara masalah tentang keluarga dengan anaknya.

Maka sewajarnya kerajaan dipertanggungjawabkan keatas perbelanjaan yang dijangka mencecah jutaan ringgit, pemergian Ahmad Said dan delegasi ke Antartika.

Rakyat perlu dimaklumkan setiap ‘sen’ yang dibelanjakan kerana ia adalah hasil ‘perahan’ pendapatan rakyat yang diambil oleh kerajaan melalui pelbagai cukai dan pembayaran kepada khidmat kerajaan!

Islam Rahmat Untuk Semua

YB Haji Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka
Jumaat 15 Rabi’ulAwwal, 1435H/ 17hb Januari 2014