Raja Bahrin Perlu Jadi ‘Anak Jantan’!

1465

Oleh : Suhaimi Taib

Kenapa Kerteh tidak termasuk antara projek pilot Bandar Pintar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedangkan banyak kemudahan ada di kawasan itu untuk projek ini?

Kenapa Timbalan Menteri KPKT, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad tidak mencadangkan bandar Kerteh termasuk dalam projek berkenaan sekurang-kurang Pantai Timur tidak tersisih terus dari projek baru kerajaan Pusat itu?

Dua persoalan ini menjadi tanda tanya rakyat Pantai Timur, khususnya rakyat Terengganu apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara selepas Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Limpahan pembangunan dan kemajuan ekonomi perlu disamaratakan demi rakyat sama ada mereka berada di bawah Kerajaan Pembangkang khususnya Terengganu atau kerajaan PH di negeri-negeri lain negeri.

Kerteh membangun hasil daripada adanya ’emas hitam’ iaitu petroleum yang terdapat di dasar Laut China Selatan yang menghadap ke pantai Kerteh.

Kerteh menjadi salah satu kawasan tumpuan penting di daerah Kemaman kerana kepadatan penduduk dan juga kemudahan yang lengkap.

Kerteh juga sering dipanggil sebagai “City of Light” di kalangan pelancong kerana limpahan cahaya dari Kawasan Perindustian Petroleum Petronas yang menerangi kawasan Kerteh pada waktu malam.

Pelbagai bentuk pembangunan telah dibangunkan di Kerteh. Antaranya ialah Bandar Seri Kerteh, Lapangan Terbang Kerteh, Kawasan Perindustrian Petronas, Pelabuhan Kerteh, Loji Penapis Minyak Terengganu, Rantau Petronas, Sekolah Rantau Petronas, Rantau Mall Kerteh, Stadium Mini Kerteh, Kelab Desa Rantau Petronas, Padang Golf, dan lain-lain.

Rantau Petronas turut dibangunkan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Terdapat banyak pembangunan muncul di Kerteh seiring dengan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di seluruh negeri Terengganu.

Dengan adanya banyak kemudahan di Bandar Kerteh ia mungkin menjimatkan kos untuk mewujudkan bandar pintar itu.
Soalnya Kerajaan Pusat mahu atau tidak, jadikan Kerteh sebagai Bandar pintar. Tidak ada kemudahan pun ia boleh diadakan oleh kerajaan, apa lagi banyak kemudahan sudah sedia ada termasuk Teknologi Rangkaian Selular Generasi Kelima (5G).

Untuk rekod bandar pintar merupakan sebuah bandar yang menggunakan teknologi terkini dan digital dalam usaha menangani masalah lazim di bandar-bandar antaranya seperti kesesakan lalu lintas, pencemaran, ancaman keselamatan penduduk dan bencana alam.

Konsep tersebut dibawa ke negara ini untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar dan buat masa ini, lima lokasi menjadi projek pilot iaitu Kulim, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

Timbalan Menteri KPKT adalah anak Terengganu. Apa yang beliau buat untuk membawa pembangunan ke negeri Terengganu supaya sekurang-kurangnya sebuah daerah atau bandar (Kerteh khususnya) dibawa ke dalam projek berkenaan.

Kesungguhan beliau memikul tanggungjawab untuk kebaikan negeri Terengganu boleh dipertikaikan bagi melihat Terengganu antara fokus utama dalam apa-apa jua polisi yang mahu digarap dalam kementerian tersebut.

Datuk Raja Bahrin perlu membuktikan perhatiannya terhadap negeri Terengganu ketika menjadi orang penting dalam kerajaan pusat.

Dalam erti kata lain beliau perlu menjadi ‘anak jantan’ membantu membangun negeri Terengganu ke arah yang lebih baik.