‘Pusat Saadah’ Memulihkan Penagih Secara Holistik

700

Oleh : Adli Mohamad.

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang sedang berusaha mengujudkan Pusat Pemulihan Dadah Secara Holistik dinamakan ‘Pusat Saadah’ sebagaimana janji Manifesto pilihan raya umum lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakeah dan Penerangan Ustaz Mohd Nor Hamzah, berkata, pusat berkenaan akan dikembangkan ke seluruh daerah Negeri Terengganu.

“Yang menjadi jalan pendahuluan ke arah mewujudkan pusat (pemulihan) penagih dadah dalam membentuk satu perkampungan ke arah masyarakat ( yang) murni ini,” kata beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu.

Beliau berkata demikan ketika menggulung perbahasan ucapan pembentangan Bajet 2019, pada Persidangan Kali Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurutnya, di peringkat awal, kerajaan negeri sedang menyiapkan modul yang lengkap serta mengenal pasti lokasi yang sesuai, untuk membangunkan pusat tersebut.

“Dan InsyaAllah, kita juga sedang menjalankan latihan-latihan kepada fasilitator-fasilitator yang akan bertanggungjawab dalam menjayakan pusat pemulihan ini,” jelasnya.

Disamping itu, beliau berharap, agar semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan dapat menghulurkan bantuan.

“agensi kerajaan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, dan agensi-agensi yang lain,

“sama-sama mengembleng tenaga dalam memastikan penyakit ummah ini dapat diubati,” tambah beliau