PTPTN ; Janji PH Menyedihkan

353
Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – PAS menyifatkan janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) berkait dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sangat menyedihkan khusunya kepada peminjam yang terdiri dari kalangan anak-anak muda.

Penolong Setiausaha PAS Terengganu YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pengumuman Menteri Kewangan dalam pembentangan bajet 2019 menunjukkan membawa kesan bahawa semua peminjam perlu membuat bayaran balik.

“Sebab kita tahu mana-mana lepasan university (graduan) bila mereka bekerja, sudah pasti gaji mereka lebih daripada seribu.

“Tapi bila mana kerajaan isytiharkan gaji lebih dariapaada RM1000 dipotong untuk bayaran PTPTN (maka) seluruh (semua) mereka yang bekerja yang mendapat (mengambil pinjaman) PTPTN harus membuat bayaran dengan kadar yang telah ditentukan oleh kerajaan,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO berkata demikian ketika mengulas isu PTPTN yang mengcengkam kehidupan para belia yang baru mendapat pekerjaan.

Ustaz Wan Sukairi berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Hafaz Muqaddam dan Graduasi Kanak-kanak Taska Permata Keluarga Parlimen Kuala Terengganu 2018 di Dewan Besar Wisma Darul Iman pada kelmarin, 5 November.

Justeru itu beliau menyarankan agar kerajaan PH membuat pertimbangan semula mengenai perkara tersebut.

“Kerajaan PH perlu memberi pertimbangan maksimum agar matlamat untuk mengutip kembali bayaran tidak membebankan,” tambahnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam itu menyeru semua NGO yang mempunyai kepakaran menyumbang khidmat menghadapi musim banjir kali ini.

Katanya, satu perjumpaan bagi membincangkan dan menyelaraskan gerak kerja dengan lebih sitematik akan diadakan.

“Saya tahu bahawa NGO yang berada di Terengganu banyak yang mempunyai kepakaran sama ada NGO 4X4 dengan komunikasi NGO dengan kemanusiaan dan juga bencana alam ini banyak.

“Insya Allah mereka akan kita akan kumpulkan bersama-sama dan gerak bersama secara teratur dan lebih efisian untuk lebih menghadapi banjir,” katanya.

Justeru kata beliau, perasmian kumpulan sukarelawan yang akan diwujudkan akan dilancarkan secara rasmi pada bulan Disember depan sempena hari sukarelawnan sedunia 5 Disember.