PRU15 : Muslimat Berdepan Cabaran Lebih Hebat

683
Ustaz Mohd Nor Hamzah


Oleh : Rohaida Al Yunani
( Gambar Syafiq Syakirin)

KUALA NERUS: Peranan muslimat cukup besar dalam memenangkan PAS setiap kali  Pilihan Raya Umum( PRU), pun begitu PRU mendatang cabaran yang lebih hebat menanti mereka.

Ketua Penerangan, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu(BPPNT), Ustaz Mohd Nor Hamzah memberi amaran bahawa umat manusia kini berada di suatu zaman yang disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam sebuah hadis.

“Melalui maksud hadis nabi yang dibacakan tadi, tidak kekal daripada iman melainkan nama sahaja. Dan tidak ada nama Islam melainkan gambaran lukisan. Tidak ada daripada al-Quran melainkan belajar, baca dan menulis. Masjid besar, tetapi hati orang yang pergi masjid pun hancur daripada petunjuk Allah swt. Ulama mereka adalah ulama paling jahat di atas muka bumi ini.

“Kalau kita melihat pada hadis nabi ini kita akan berhadapan dengan satu fitnah yang dahsyat dan masyarakat sangat jahil, jauh daripada Al-Quran,” jelas beliau.

Justeru, beliau menggesa para amilin bekerja dari sekarang dengan penuh berstrategi untuk mengajak masyarakat memahami Islam berdasarkan sumber yang sebenar dan tepat.

” Demikian juga, muslimat perlu bijak menyusun ‘method’ dakwah untuk mendidik masyarakat agar beretika dan memiliki adab dalam menerima maklumat-maklumat bertepatan dengan yang dianjurkan dalam Al-Quran,” terangnya .

Mohd Nor berkata demikian ketika merasmikan Majlis Hari Raya Warga Penerangan, anjuran Lajnah Penerangan dan Hubungan Media, Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) yang berlangsung di NR Cafe, Tok Jembal, di sini, 1 Julai.

Ajk Dewan Ulama PAS Pusat itu juga berharap agar muslimat terus berperanan bagi membantu kerajaan negeri sama ada dalam Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) atau pun dalam penerangan di peringkat parti.

“Terima kasih tidak terhingga buat muslimat yang bertungkus-lumus menjayakan kerja-kerja penerangan sebelum,  semasa PRU dan hingga sekarang. Moga Allah terima amal dan perjuangan puan-puan,  insyaAllah,” katanya di majlis yang bertujuan untuk meraikan jentera penerangan muslimat.

Turut hadir menyerikan lagi majlis adalah Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said @ Mat Ali dan Ketua DPMNT, Hajah Zarani Othman serta para pimpinan muslimat di pelbagai peringkat.