PRU 14: Pilihan Raya Paling Tenang

765

Oleh : Nooreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU – Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) disifatkan sebagai pilihan raya paling tenang di Terengganu tanpa adanya penentangan terhadap calon-calon yang dipilih.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato Ustaz Haji Husain Awang berkata, ini berdasarkan sejak dari tahun1986, beliau  memegang jawatan di dalam Dewan  Harian Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.

Kehadiran muslimat ke Munaqasah Ucapan Dasar DMPM mencecah sehingga 700 orang.

“Samada sebagai Ketua Penerangan, samada sebagai Setiausaha Perhubungan ataupun sebagai Timbalan Pesuruhjaya, ini adalah pilihan raya yang paling tenang,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Syura Ulama, berkata demikian ketika merasmikan program Munaqasah Ucapan Dasar Dewan Muslimat PAS Malaysia di Kuala Ibai semalam, 5 Januari.

” Saya boleh tidur dengan tenang, mari pejabatpun tak ada yang nak marah kepada saya, dok (tidak) setuju kepada calon dan sebagainya.

“Kalau dulu orang berarak ke rumah PJ(Pesuruhjaya), berarak ke rumah Tok Guru, berarak ke rumah ajk Perhubungan, minta suruh tukar, tak setuju calon ini, suruh letak calon ini.

Bahkan kata Ustaz Husain, beliau gembira dan paling hairan ramai yang berebut tidak mahu menjadi calon dan sehinggakan terpaksa dipujukpun masih menolak.

” Akhirnya ‘last minute’, saya kata, enta jadi calon, nak tak, enta jadi calon, nak tak nak, enta jadi calon, barulah terima,” cerita beliau.

Dato Ustaz Haji Husain Awang menerima cenderahati daripada Ketua DMPNT, Hajah Zarani Othman.

Rupa-rupanya, sambung beliau lagi, ketenangan itulah yang dibalas oleh Allah dengan kemenangan mutlak yang berjaya dicapai.

” Insya Allah jika ini dapat dikekalkan sehingga ke pilihan raya akan datang, InsyaAllah kemenangan ini dapat kita kekalkan,” ujarnya.

Ketika ditanya pemberita selepas majlis tersebut, beliau melahirkan keyakinan kerajaan Terengganu dapat melaksanaan manifesto PAS Terengganu di PRU14.

” Setakat  enam hingga lapan bulan ini, 30 peratus manifesto telah dalam perlaksanaan, Alhamdulillah, ” katanya.

Menurut beliau, PAS Terengganu juga akan memantau sekolah-sekolah rendah Islam (SRIDI) yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri memandangkan mereka tidak mempunyai pengalaman.

” Tetapi kita (PAS Terengganu) sudah mempunyai 20 tahun pengalaman di dalam mengendalikan sekolah-sekolah rendah, dari sudut kurikulum dan ko-kurikulumnya, peperiksaannya, tapi tidaklah kata mencukupi, tapi banyak,” katanya.