Projek Perumahan Padang Setengge Dijangka Siap Akhir Tahun Ini

165

Oleh : Hanif Hamdan

Kuala Terengganu – Projek Perumahan Padang Setengge, Kuala Berang bagi fasa tiga dan empat yang terbengkalai sejak sekian lama, dijangka siap pada akhir tahun ini.

Bendahari PAS kawasan Hulu Terengganu, Dr Mamad Puteh berkata, projek perumahan yang terbengkalai ini akan disiapkan secepat mungkin.

“Projek ini dijangka akan disiapkan pada akhir tahun ini. Untuk makluman, fasa satu dan dua telah disiapkan sepenuhnya.

“Manakala fasa tiga yang berjumlah sebanyak 124 unit telah siap 80%, dan fasa empat sebanyak 110 unit telah selesai 60% sewaktu pemerintahan kerajaan terdahulu, namun selepas itu dibiarkan terbengkalai,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau berkata demikian kepada pemberita di Wisma Darul Iman semalam, 7 Ogos.

Menurutnya, pemilik rumah diminta bersabar berikutan projek tersebut perlu mengambil sedikit masa, dan perlu disiapkan mengikut fasa yang ditetapkan.

“Hari ini (semalam), pihak kontraktor iaitu Sumai Engineering Sdn Bhd cuba menyelesaikan terlebih terdahulu, sebanyak 81 unit rumah yang terbengkalai untuk diberi sijil siap dan pematuhan.

“Sekarang ini dalam proses perbincangan dengan Majlis Daerah untuk mendapatkan sijil tersebut.

“Saya harap, pemilik rumah dapat bersabar sedikit masa lagi untuk menunggu sijil siap dan pematuhan disiapkan. Sementara itu, kerja-kerja yang lain pula akan dijalankan secara berfasa,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang.

Tambah Dr Mamad, kos membaik pulih dan menyiapkan Projek Perumahan Padang Setengge ini dianggarkan bernilai di antara RM8.5 juta hingga RM10 juta.