Program Tautan Kasih Ringankan Kesusahan Rakyat

349

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – Program Tautan Kasih yang dilaksanakan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang (DPPKM) mampu meringankan kesusahan masyarakat setempat termasuk membantu mereka memiliki kediaman selesa.

Mantan Pemuda PAS DUN Bukit Payung, Kamanordin Md Jusoh, 42 yang terpilih sebagai sasaran bagi program Tautan Kasih pada kali kedua ini. Manakala, sebelum ini diadakan di DUN Rhu Rendang.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang, Yusuf Abdul Hadi berkata, sumbangan daripada orang ramai itu bakal merubah nasib keluarga di Kampung Undang, Bukit Payung yang selama ini hidup dalam kedaifan.

“Sudah pasti dengan sumbangan ini, kita akan dapat membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan untuk hidup dengan lebih sempurna,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di salah sebuah kediaman penerima bantuan Kampung Undang, Bukit Payung, semalam, 6 Julai.

Menurutnya, rumah adalah aset yang penting dan tempat berteduh serta dapat melakukan aktiviti harian dalam keadaan yang selesa.

“Saya berharap agar program sebegini lebih kerap dilakukan dan akan memberi lebih keselesaan kepada orang ramai yang betul-betul memerlukan demi meneruskan kelangsungan hidup masakini,” ujarnya.

Turut hadir sama ialah Ketua Lajnah Kebajikan DPPKM, Sabri Zakaria dan saf kepimpinan Ahli Jawatankuasa DPPKM.