Program Liqa Mahabbah Perkemaskan Pegangan Ahli

619

Oleh : Ahmad Syahid Adnan

KEMAMAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili menyatakan bahawa beliau yakin dan percaya, program Liqa’ Mahabbah ini dapat memperkemaskan pegangan kita dalam menempuhi cabaran yang mendatang.

“Apabila kita diamanahkan untuk memerintah negeri Terengganu, sudah pasti cabarannya juga besar, dan kita tak mampu hadapi (cabaran) dengan sebaik mungkin sebagaimana diperintah-Nya, melainkan kita perbanyakkan program sebegini,” ujarnya.

Beliau juga percaya, program sebegini bukan sahaja dapat menyempurnakan amanah yang diberikan dalam memerintah negeri Terengganu, malah juga untuk persediaan diri kita di dunia akhir zaman ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Liqa’ Mahabbah 2.0 DUN Kemasik, di Dewan Orang Ramai Pengkalan Ranggon, Kerteh, di sini, semalam.

“Saya juga berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang, dalam merapatkan ukhuwah serta memperkukuhkan perjuangan murni kita sebagai kerajaan dan parti,” tambahnya.

Turut bersama, penceramah jemputan Ustaz Jamaluddin Jusoh, Amri Mamat selaku Timbalan Pengarah Parti Islam SeMalaysia (PAS) DUN Kemasik, Roslan Endut selaku Setiausaha PAS DUN Kemasik, serta para Pengerusi dan Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan.